Thursday, June 30, 2022

Kes baru Covid-19 menurun 4.1% minggu lepas

Kes sembuh turut dicatatkan meningkat sebanyak 4.2% minggu lalu.

Other News

Bilangan kes baru Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-21 yang bermula dari 22 hingga 28 Mei menunjukkan penurunan sebanyak 4.1% iaitu 13,076 kes berbanding 13,630 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-20).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini 4,502,579 kes.

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-21 adalah 25,360 iaitu terdapat penurunan sebanyak 15.1% berbanding minggu sebelumnya.

“Purata kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt) juga menunjukkan penurunan sebanyak 1.1 peratus iaitu 0.93 berbanding 0.94 pada minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-21 menunjukkan peningkatan iaitu 4.2% (15,278 kes kepada 15,925 kes) berbanding ME ke-20, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,441,702.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian pada ME ke-21 pula menurun sebanyak 34.5% iaitu kepada 19 kes berbanding 29 kes pada minggu sebelumnya, menjadikan kumulatif kematian kini 35,660.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun sebanyak 10% untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

“Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan bagi semua kategori pesakit. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan menurun sebanyak 6.1%.

“Secara keseluruhan, penggunaan katil bukan kritikal dan penggunaan katil PKRC tiada perubahan manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat sebanyak 17%,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan dengan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.1% dan bilangan kes Covid-19 baru yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 6.5%.

Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital juga menunjukkan penurunan ketara iaitu 46.6%, katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles