Wednesday, June 29, 2022

PAC gesa audit khas perbelanjaan perubatan sepanjang pandemik

PAC akan memanggil kementerian berkaitan, SPRM dan agensi terbabit bagi memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Other News

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen meminta Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan khas dengan segera terhadap perolehan dan perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan perubatan ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada ketua audit negara semalam.

“Sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat yang mempunyai mandat untuk memeriksa perbelanjaan kerajaan supaya ia mematuhi undang-undang, peraturan kewangan kerajaan yang berkuat kuasa, syarat kontrak dan pembayaran dilaksanakan dengan teratur, PAC tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi.

“Pengauditan khas ini harus disegerakan dengan dapatan dan hasil dibentangkan kepada PAC supaya jawatankuasa ini dapat mengenal pasti wujud unsur penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan kuasa dalam perolehan perkhidmatan perubatan ini,” katanya.

Beliau berkata dengan pengauditan khas berkenaan, PAC akan memanggil kementerian kewangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kementerian dan agensi terbabit bagi memberikan taklimat dan penjelasan kepada jawatankuasa itu berhubung perkara tersebut.

Bagi tujuan berkenaan, PAC akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan Peraturan Mesyuarat 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982).

Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) menyatakan: Hendaklah ada sebuah Jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dilantik pada awal tiap-tiap Parlimen kerana memeriksa apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa itu.

Peraturan Mesyuarat 77(5) menyatakan: Jawatankuasa ini berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat dan rekod-rekod dan mengeluarkan penyata kepada Majlis dari satu masa ke satu masa.

PAC meminta Jabatan Audit Negara menjalankan audit khas itu susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Selasa (24 Mei) mengenai siasatan yang sedang dijalankan SPRM terhadap perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan serta pakej rangsangan yang diberikan kerajaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles