- Iklan -
Berita

Zahid nafi RM6 juta diterima dari Sarana Kencana balasan beri kontrak bekal cip pasport

Presiden Umno itu berkata dana tersebut adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Ahmad Zahidi Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan bukannya rasuah.

Zahid, 69, berkata tuduhan bahawa cek itu yang diterima melalui bekas timbalan pengarah urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben sebagai balasan untuk melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport selama lima tahun adalah tidak benar dan fitnah.

“Saya menegaskan bahawa keputusan untuk melantik DTSB bukan keputusan daripada saya. Saya tiada kuasa membuat keputusan akhir kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian kewangan.

“Proses yang dijalankan oleh kementerian kewangan, kementerian dalam negeri (KDN) serta jabatan imigresen berhubung penganugerahan projek kontrak polikarbonat kepada DTSB adalah teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Semua prosedur sudah dijalankan dengan sempurna oleh pegawai-pegawai saya di KDN dan diakui oleh Kementerian Kewangan sebelum kontrak tersebut dianugerahkan kepada DTSB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Zahid berkata ketika beliau menjawat jawatan menteri dalam negeri, Jeneral (B) Mohamed Hashim Mohd Ali (bekas Pengarah DTSB) mengemukakan surat “Permohonan Untuk Membekalkan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 Juta Cip yang akan Dimasukkan Ke Dalam Halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia Kepada Kerajaan Secara Rundingan Terus.”

“Apabila melibatkan rundingan terus, ia melibatkan arahan perbendaharaan dan juga perolehan dalaman kementerian dalam negeri. Seterusnya, saya menyatakan bahawa Kementerian Kewangan yang akan menentukan rundingan terus telah dianugerahkan kepada mana-mana syarikat yang telah membuat permohonan bukan di peringkat perolehan kementerian dalam Negeri,” jelasnya.

Kepada soalan Zaidi, bagaimana beliau mengenali Hashim, Zahid berkata beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri pertahanan mengenali Hashim yang ketika itu panglima tentera darat.

“Beliau (Hashim) seterusnya menjadi pengarah beberapa syarikat tersenarai termasuk pengarah DTSB. Saya mengenali beliau lebih 20 tahun sejak berada di kementerian pertahanan bukan kerana penglibatannya dalam perniagaan tetapi sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Beliau berkata syarikat Sarana Kencana adalah milik Hashim dan Abu Hanifah Noordin (bekas pengarah urusan Datasonic Group Berhad).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata Hanifah yang merupakan saksi pendakwaan ke-32 telah memberitahu mahkamah bahawa cek tersebut diberikan kepadanya sebagai dana politik, sebahagian daripada amal jariah.

“Chew (saksi pendakwaan ke-34) juga ada memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan yang mana beliau menyatakan berdasarkan kefahaman beliau, wang politik juga termasuk sebagai amal jariah.

“Hanifah dan Chew juga menyatakan pemberian kedua-dua cek ini tiada kena mengena dengan lantikan DTSB untuk melaksanakan kontrak polikarbonat, malah cek tersebut yang dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co adalah sumbangan politik kepada saya,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan ke-15, Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik DTSB untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada jabatan imigresen menerusi rundingan terus di bawah kementerian dalam negeri.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.