- Iklan -
Berita

Minta suapan berkait kerja urus jenazah, 2 pembantu kesihatan ditahan

Suspek dipercayai menerima RM15,000 masing-masing bagi urusan berkait kerja pengurusan jenazah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pembantu kesihatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber SPRM, dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 42 dan 40 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 4.45 petang di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kedua-dua suspek yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah antara 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi mendapatkan perintah reman.