- Iklan -
Berita

Bekas menteri Sabah didapati bersalah palsukan dokumen kontrak senggara sistem UMS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM50,000 ke atas Peter Anthony.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri pembangunan dan Infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama
Bekas menteri pembangunan dan Infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen hari ini mendapati bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony bersalah atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Azura berkata selepas mendengar dan meneliti secara maksimum hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Peter.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat untuk menipu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.