- Iklan -
Berita

APMM tahan 4 lelaki cuba seludup 119 etnik Rohingya

Jumlah pelarian yang cuba dibawa masuk termasuk 40 orang kanak-kanak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail pelarian Rohingya mendapatkan bantuan makanan asas di Pusat World Food Programme di kem pelarian daerah Ukhiah, Cox Bazar, Bangladesh.
Gambar fail pelarian Rohingya mendapatkan bantuan makanan asas di Pusat World Food Programme di kem pelarian daerah Ukhiah, Cox Bazar, Bangladesh.

Cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah, Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata sepasukan anggota APMM yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

“Turut ditahan ialah empat lelaki tempatan berumur 32 hingga 39 tahun yang mana dua daripadanya adalah penjawat awam. Mereka ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata empat lelaki tempatan itu direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di bawah Seksyen 4(5) selama 28 hari.

Wan Hassan berkata kesemua pendatang asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(1)(b) akta sama selama 14 hari.

“Polis akan menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya melibatkan isu keselamatan dan imej negara. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat perlakuan jenayah boleh menghubungi talian MERS 999 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya.