- Iklan -
Berita

Korea Utara lancar 3 peluru berpandu balistik selepas Biden pulang

Korea Utara itu juga dipercayai sedang bersiap untuk menguji senjata nuklear buat kali pertama sejak 2017.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Korea Utara telah menjalankan beberapa ujian peluru berpandu termasuk peluru berpandu balistik terbesarnya buat kali pertama sejak 2017. Gambar: Reuters
Korea Utara telah menjalankan beberapa ujian peluru berpandu termasuk peluru berpandu balistik terbesarnya buat kali pertama sejak 2017. Gambar: Reuters

Korea Utara melepaskan tiga peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun hari ini, kata tentera Seoul, selepas beberapa jam Joe Biden menamatkan lawatan pertamanya ke Asia sebagai presiden Amerika Syarikat di mana beliau bersetuju untuk meningkatkan usaha mengekang negara yang mempunyai senjata nuklear tersebut.

Dalam satu kenyataan, Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata pihaknya mengesan tembakan peluru berpandu dilancarkan dalam masa kurang setengah jam dari kawasan Sunan yang terletak berdekatan Pyongyang.

Korea Utara telah melancarkan beberapa peluru berpandu tahun ini, daripada senjata hipersonik hingga ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbesarnya buat pertama kali dalam tempoh hampir lima tahun.

Negara itu juga dipercayai sedang bersiap untuk menguji senjata nuklear buat kali pertama sejak 2017.

Pegawai AS dan Korea Selatan baru-baru ini memberi amaran bahawa Korea Utara kelihatan bersedia untuk ujian senjata lain di mana kemungkinan ia dijalankan semasa lawatan pertama Biden ke Asia sebagai presiden AS.

Seorang pegawai Rumah Putih berkata Biden yang berlepas dari Jepun pada petang Selasa, telah diberi taklimat mengenai pelancaran yang dijalankan Korea Utara itu dan akan terus dimaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu.

Jepun melaporkan sekurang-kurangnya dua pelancaran peluru berpandu dijalankan, namun berkata kemungkinan terdapat lebih banyak operasi pelancaran dijalankan.

Menurut menteri pertahanan Jepun, salah satu peluru berpandu tersebut dilaporkan terbang pada jarak kira-kira 750km (465 batu) ke ketinggian maksimum 50km dan dikesan mampu mengalihkan haluan ketika dilancarkan.

Sebuah lagi peluru berpandu turut dikesan terbang kira-kira 300km dan mencapai ketinggian maksimum 550km, katanya.

Agensi media Jepun NHK berkata peluru berpandu tersebut dilihat jatuh di luar zon ekonomi eksklusif (EEZ) Jepun.

Pangkalan tentera AS di Indo-Pasifik berkata ia mengesan “beberapa” pelancaran.

Dalam sebuah kenyataan, ia menekankan “kesan ketidakstabilan daripada program senjata haram Korea Utara” namun mengatakan pelancaran senjata itu tidak menimbulkan ancaman serta-merta.

Hujung minggu lalu, Biden dan rakan sejawatnya dari Korea Selatan Yoon Suk-yeol bersetuju untuk mengadakan latihan ketenteraan yang lebih besar dan menggunakan lebih banyak aset strategik AS jika perlu bagi mengekang ujian senjata Korea Utara yang semakin giat dijalankan.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin itu turut menawarkan penghantaran bekalan vaksin Covid-19 ke Korea Utara ketika negara dalam usaha memerangi penularan wabak itu selepas kes positif pertamanya disahkan.

Mereka juga menyeru Pyongyang untuk kembali menjalinkan hubungan diplomasi.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada maklum balas dari Pyongyang terhadap tawaran dari kedua pemimpin itu.