Friday, July 1, 2022

Anak tanpa kerakyatan bakal diajar membaca ketika tawaran bantuan mencurah

Suki dan bapanya mengucapkan terima kasih atas semua bantuan yang mereka terima setakat ini, sementara usaha dari segi undang-undang diteruskan mendapatkan hak kerakyatan kepada anak cilik itu.

Other News

Kanak-kanak berusia 10 tahun yang tidak mempunyai pendidikan dan kerakyatan akan diajar membaca oleh sukarelawan ketika usaha diteruskan untuk mendapatkan hak kerakyatannya.

Suki Wong Pei Yee yang tidak bersekolah kini menjaga bapanya bersendirian selepas ibunya, seorang warga Vietnam meninggal dunia tahun lalu.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), organisasi kebajikan pertama yang mendapat tahu keadaan dua beranak itu berkata sukarelawan akan hadir ke rumah Suki di Petaling Jaya, setiap Sabtu untuk mengajarnya membaca dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Katanya, sukarelawan itu akan mulakan sesi mengajar Suki bermula Sabtu ini.

“Sukarelawan itu mempunyai pengalaman mengajar di sekolah tadika dan dia mula dapat tahu mengenai Suki menerusi Mapim yang membantu keluarga itu sejak tahun lalu,” kata Setiausaha Agung Mapim Zulhanis Zainol kepada MalaysiaNow.

Kisah Suki yang memikul tanggungjawab berat menjaga bapanya yang separa lumpuh mendapat banyak maklum balas dan tawaran bantuan dari pembaca.

Kisahnya juga turut menyentuh hati ramai warga Malaysia sehingga petisyen dalam talian bagi mendesak anak cilik itu diberikan kerakyatan turut dilancarkan.

Disebabkan perkahwinan antara bapanya, Wong Kon Foo dan ibunya, Tran Diem Kiew, yang merupakan seorang warga Vietnam, tidak didaftarkan, Suki tidak mempunyai kerakyatan dan ini menyebabkan dia tidak boleh bersekolah.

Malah, disebabkan keadaan bapanya yang separa lumpuh, keluarga itu terpaksa hidup dalam serba kekurangan kerana tiada sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ihsan orang ramai.

Penghargaan juga kepada Mapim yang bertindak sebagai badan yang menghubungkan Wong Kon Foo dengan JKM yang menyebabkan anak cilik itu akhirnya berjaya mendapatkan sijil kelahirannya.

Zulhanis berkata pihaknya mengetahui kisah Suki dan bapanya pada September tahun lalu apabila mereka sedang mengagihkan bantuan kotak makanan di sekitar kawasan perumahan tersebut dan keluarga itu adalah antara 100 penerima.

Beliau berkata, sejak pertemuan itu, Mapim beberapa kali melakukan lawatan semula untuk memeriksa keadaan dua beranak itu bagi memastikan bekalan keperluan mereka sentiasa mencukupi.

“Kami memberikan bantuan jenis pek makanan dan juga kewangan tetapi yang merunsingkan kami adalah pendidikan Suki,” katanya.

Tambah beliau, antara usaha yang dilakukan pihaknya ialah mendapatkan surat beranak Suki dan menjadi pengantara antara Wong dan pihak JKM bagi memudahkan urusan.

“Kami bantu membawa Wong untuk menyerahkan dokumen penting kepada JKM Petaling Jaya termasuk salinan asal resit bersalin bagi membuktikan Suki lahir di Hospital Sungai Buloh.

“Alhamdulillah selepas beberapa bulan, JKM berjaya mendapatkan surat beranak untuk Suki,” tambah beliau.

MalaysiaNow turut melibatkan sekumpulan peguam yang pakar dalam kes tanpa kerakyatan di mana mereka bersetuju untuk bekerja secara pro bono untuk mendapatkan kewarganegaraan Suki.

Sementara itu, Wong ketika dihubungi MalaysiaNow, turut meluahkan rasa syukur kepada orang ramai yang sudi membantunya selepas laporan mengenai kisah hidupnya tular di media sosial.

“Saya tak sangka begitu ramai ambil berat terhadap saya dan Suki,” katanya.

“Ada yang datang ke rumah, ada juga yang menelefon memberi kata-kata semangat dan menyatakan akan menghulurkan bantuan.

“Saya hanya mampu ucap terima kasih kepada semua.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles