Friday, July 1, 2022

Zahid nafi pecah amanah yayasan, pindah RM17 juta ke firma guaman kerana pegawai cuai

Zahid berkata beliau tidak ada pilihan melainkan mencari jalan dana Yayasan Akalbudi dalam simpanan Affin Bank dipindahkan kepada sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan.

Other News

Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan melakukan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM 17,953,185.21, sebaliknya menyatakan wang itu dipindahkannya kepada sebuah firma guaman kerana bekas setiausaha eksekutifnya kerap melakukan kecuaian.

Jumlah dana yayasan itu melibatkan pertuduhan keenam daripada 12 kesalahan pecah amanah, yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri.

Zahid, 69, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau melantik Tetuan Lewis & Co bagi mengendalikan wang yayasan miliknya itu, memandangkan Mazlina Mazlan @ Ramly kerap melakukan kecuaian dalam menguruskan kewangan peribadinya dan YAB.

“Yang Arif, sepertimana yang saya nyatakan di awal keterangan bahawa banyak kali kesilapan dilakukan oleh Mazlina, termasuk menulis amaun yang berbeza dengan perkataan pada cek serta tidak menghantar penyata bulanan kad kredit serta dokumen lain apabila diminta.

“Pemindahan wang yayasan itu ke sebuah firma guaman bukan untuk pecah amanah, tetapi menggunakan firma itu bagi menguruskan akaun pelanggan yayasan berikutan firma tersebut mempunyai pegawai-pegawai yang berketerampilan atau berkemahiran untuk menjaga akaun tersebut,” katanya.

Zahid berkata demikian ketika disoal peguam Ahmad Zaidi Zainal pada hari keempat prosiding membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Menurut Zahid, beliau banyak kali memberi nasihat serta panduan kepada saksi pendakwaan ke-90 itu, memandangkan wanita itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan.

“Beliau (Mazlina) hanya meminta maaf tetapi mengulangi semula perbuatan itu. Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan agar keseluruhan dana Yayasan Akalbudi dalam simpanan semasa bank (Affin Bank) dipindahkan kepada sebuah firma guaman yang mempunyai akauntan, pegawai akaun serta ‘book keeper’ yang menjaga akaun pelanggan,” katanya.

Kepada soalan Zaidi dalam banyak-banyak firma guaman, mengapa Zahid memilih Lewis & Co untuk mengendalikan dana YAB, Zahid berkata seorang pegawai di kementerian dalam negeri telah memperkenalkannya dengan peguam di Lewis & Co.

Mengenai pemindahan wang YAB kepada Lewis & Co, Zahid berkata beliau sendiri telah memberi arahan kepada Affin Bank untuk membuat pindahan wang RM17,953,185.21 daripada bank itu kepada akaun pelanggan Lewis & Co dan wang tersebut masih milik YAB, bukan kepunyaan Yayasan Al Falah, firma guaman itu atau orang lain.

Selain itu, Zahid berkata beliau tidak pernah mengarahkan Mazlina menggunakan dana YAB berjumlah RM107,509.55 untuk membayar polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan.

“Saya tidak tahu Mazlina akan menggunakan cek pratandatangan untuk membuat pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen kenderaan milik persendirian.

“Cek-cek yang saya pratandatangan adalah untuk kegunaan segera sahaja, seperti pembayaran kepada kontraktor-kontraktor bagi pembinaan yang sedang dilaksanakan oleh yayasan pada ketika itu, atau pembayaran segera yang perlu dijelaskan apabila saya berada di luar negara,” katanya.

Semasa di peringkat pendakwaan, mahkamah diberitahu bahawa Zahid dan keluarga mengambil 39 polisi insurans kenderaan bagi 20 kenderaan milik keluarganya termasuk 18 kenderaan mewah miliknya, antaranya BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan sedang berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles