- Iklan -
Berita

SPRM dedah amalan rasuah dalam pembelian bekalan perubatan sepanjang pandemik

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan telah dilancarkan terhadap salah guna kuasa, penipuan dan rasuah pegawai penguat kuasa.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SORN) hari ini mendedahkan bahawa amalan rasuah berlaku dalam pembelian peralatan perubatan semasa fasa pandemik Covid-19, sekali gus mengumumkan siasatan sedang dijalankan berhubung isu itu membabitkan proses pemerolehan dalam sektor perkhidmatan perubatan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, siasatan turut dimulakan membabitkan isu salah guna kuasa dalam mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, selain penipuan berkait pemalsuan peralatan perlindungan perubatan seperti topeng muka dan sarung tangan dari segi kuantiti dan kualiti.

Menyampaikan ucaptama pada Forum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ketiga di Putrajaya, Azam turut bercakap mengenai rasuah melibatkan pegawai penguat kuasa yang bertugas ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Malang sekali, walaupun negara dalam keadaan pandemik dan darurat, beberapa pembelian ini terlibat dengan rasuah,” katanya.

“Ini menunjukkan terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan haram daripada derita dan musibah yang ditanggung rakyat.”

Berhubung aktiviti SPRM secara keseluruhannya, beliau berkata agensi itu sudah membuka 829 kertas siasatan pada 2021 dengan 851 tangkapan.

Sebanyak 376 kertas siasatan dibuka dalam tempoh empat bulan pertama 2022, dan 415 tangkapan telah dibuat dalam tempoh tersebut.

Katanya, prestasi dalam proses pemulihan aset juga stabil, dengan sejumlah RM162 juta aset dirampas pada 2021 dan RM5.13 bilion dalam sitaan.

Pada suku pertama 2022, RM12.58 juta aset dirampas, dan RM59 juta disita.

Dalam kes berkait 1MDB pula, Azam berkata SPRM berjaya mendapatkan semula RM14 bilion pada 2020 melalui kompaun dan penyelesaian, termasuk penghantaran pulang hasil jenayah dari negara luar.

Menurutnya, pada 2021, RM5.11 bilion diperoleh melalui penyelesaian.