- Iklan -
Berita

Polis tahan bekas diplomat, anak disyaki tanam pokok ganja

Lelaki berusia 78 tahun itu ditahan pada Sabtu manakala anak lelakinya berusia ditahan di Shah Alam semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Polis berkata satu lagi kertas siasatan membabitkan kes amang seksual pendakwah selebriti di Kuala Lumpur sedang disiapkan. Gambar: Bernama
Polis berkata satu lagi kertas siasatan membabitkan kes amang seksual pendakwah selebriti di Kuala Lumpur sedang disiapkan. Gambar: Bernama

Polis menahan seorang bekas diplomat bergelar Datuk dan anak lelakinya yang dipercayai terlibat menanam 102 pokok disyaki ganja di sebuah rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bukit Tinggi.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 78 tahun itu ditahan di rumahnya di Janda Baik pukul 6.10 petang pada Sabtu lepas manakala anak lelakinya berusia 53 tahun ditahan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.30 petang semalam.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan di kawasan kediaman berkeluasan kira-kira lapan ekar di Janda Baik itu, polis menemukan 102 pokok disyaki ganja, ada antaranya yang ditanam di belakang garaj kenderaaan, dan menurutnya ia boleh dikatakan sebagai rampasan ganja terbesar dalam negara setakat ini.

Semasa serbuan itu juga polis menemukan sejumlah tumbuhan kering disyaki ganja, dua botol kaca disyaki minyak ganja, minyak kelapa dan sebatang buluh yang diubah suai dipercayai digunakan bagi kegiatan penagihan dadah jenis ganja.

“Cecair disyaki ganja itu dijual pada harga RM250 sebotol kalau ikut nilai pasaran, dan ia dipercayai diproses di rumah itu untuk dijual kepada kenalan mereka.

“Nilai rampasan 102 pokok ganja berkenaan adalah kira-kira RM61,200, dengan setiap pokok dianggar bernilai RM600,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Bentong hari ini.

Ramli berkata semasa soal siasat salah seorang suspek mendedahkan aktiviti penggunaan beberapa titik cecair disyaki minyak ganja yang dicampur ke dalam minuman oleh pengguna, sejak tiga tahun lepas.

“Siasatan awal terhadap suspek kedua yang didapati positif dadah itu pula mendapati dia sudah terlibat dengan kegiatan penagihan sejak 2013 selain mula menanam bahan larangan pada 2015, dengan benihnya dipercayai diperolehi daripada ganja mampat,” katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan lokasi rumah itu yang terpencil membuatkan kegiatan mereka sukar dikesan.

Katanya bekas diplomat itu kini direman tujuh hari manakala permohonan reman terhadap anaknya akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.