- Iklan -
Berita

Laporan PBB dapati negara kaya letakkan kehidupan kanak-kanak dalam risiko

Di 39 negara yang dikaji, lebih 20 juta kanak-kanak mempunyai tahap plumbum yang tinggi dalam darah mereka.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Laporan Unicef itu juga mendedahkan ramai kanak-kanak menghirup udara toksik di dalam dan di luar rumah, terutama di Mexico, walaupun ia tidak direkodkan di Finland dan Jepun. Gambar: Reuters
Laporan Unicef itu juga mendedahkan ramai kanak-kanak menghirup udara toksik di dalam dan di luar rumah, terutama di Mexico, walaupun ia tidak direkodkan di Finland dan Jepun. Gambar: Reuters

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sebuah laporannya berkata negara kaya mewujudkan keadaan hidup yang tidak selamat bagi kanak-kanak di rumah dan di seluruh dunia.

Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) yang dikeluarkan pada Selasa itu turut menyeru negara dunia untuk mengurangkan sisa dan pencemaran bagi mengatasi masalah berkenaan.

Pusat Penyelidikan Innocenti Unicef mengkaji 39 negara daripada Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Kesatuan Eropah (EU) mengikut kriteria yang berbeza, termasuk penggunaan racun perosak, kelembapan rumah, pendedahan terhadap plumbum, akses kepada cahaya dan sisa.

Menurut laporan itu, walaupun Sepanyol, Ireland dan Portugal menunjukkan prestasi yang agak baik, tiada satu pun negara yang dikaji didapati menyediakan persekitaran yang sihat untuk kanak-kanak.

“Bukan sahaja majoriti negara kaya gagal menyediakan persekitaran yang sihat untuk kanak-kanak dalam lingkungan sempadan mereka, mereka juga menyumbang kepada kemusnahan persekitaran kanak-kanak di bahagian lain dunia,” kata pengarah pusat itu, Gunilla Olsson dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan, negara kurang kaya di Amerika Latin dan Eropah mempunyai kesan yang lebih rendah ke atas keadaan umum planet bumi dalam aspek kadar pelepasan berbanding dengan beberapa negara kaya yang dikaji.

Walaupun Finland, Iceland dan Norway mendahului dalam menyediakan persekitaran yang sihat untuk belia, namun negara itu berada di tempat terakhir dari segi kesannya terhadap bumi dari aspek kadar pelepasan, jumlah sisa elektronik dan tahap penggunaan.

Di Iceland, Latvia, Portugal dan Britain, satu daripada lima kanak-kanak terdedah kepada kelembapan di rumah mereka, manakala di Cyprus, Hungary dan Turki, lebih satu daripada empat kanak-kanak terjejas akibat punca yang sama.

Laporan itu juga mendedahkan ramai kanak-kanak menghirup udara toksik di dalam dan di luar rumah, terutama di Mexico, walaupun ia tidak direkodkan di Finland dan Jepun.

Di Belgium, Israel, Belanda, Poland, Republik Czech dan Switzerland, lebih seorang dari 12 kanak-kanak terdedah kepada tahap pencemaran racun perosak yang tinggi, kata laporan itu.

Di 39 negara yang dikaji, lebih 20 juta kanak-kanak mempunyai tahap plumbum yang tinggi dalam darah mereka.