- Iklan -
Berita

Kerajaan bakal wajibkan pasang sistem ABS libat motorsikal baru 150cc ke atas

Wee Ka Siong berkata pelaksanaan mewajibkan sistem ABS itu akan dilakukan secara berfasa dan sekiranya berkesan, ia akan diteruskan kepada motorsikal berkapasiti enjin bawah 150cc.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Deretan motorsikal pelanggan kedai gunting rambut di Ampang, Kuala Lumpur.
Deretan motorsikal pelanggan kedai gunting rambut di Ampang, Kuala Lumpur.

Satu kajian terperinci bagi mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci atau anti-lock braking system (ABS) kepada semua motorsikal baru akan dijalankan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata pemasangan sistem itu akan melibatkan semua motorsikal baru berkapasiti enjin 150cc dan ke atas.

Jelasnya, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu dijangka selesai dalam enam bulan, manakala pelaksanaan mewajibkan pemasangan sistem ABS dijadualkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh tamat kajian tersebut.

“Tempoh yang sama juga akan digunakan untuk meminda peraturan sedia ada bagi tujuan mewajibkan pemasangan ABS ini.

“Tapi saya tegaskan ia bukan dibuat secara mendadak atau tergesa-gesa. Tidaklah umum hari ini, esok terus dilaksanakan. Kita beri enam bulan untuk Miros buat kajian, bincang dengan wakil pengguna, pemegang taruh serta pihak industri pembuat motorsikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-10 Miros di Makmal Pelanggaran Miros PC3, Ayer Molek hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Miros Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah Miros Khairil Anwar Abu Kassim dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Insfrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka Rahmad Mariman.

Katanya pelaksanaan mewajibkan sistem ABS itu akan dilakukan secara berfasa dan sekiranya berkesan, ia akan diteruskan kepada motorsikal berkapasiti enjin rendah daripada 150cc.

Wee berkata langkah itu mampu mengurangkan kemalangan dan kematian membabitkan pengguna motorsikal sehingga 30%.

Menurut Wee, faktor utama kemalangan motorsikal di negara ini adalah terbabas sendiri atau gagal mengelak ketika menunggang, antaranya disebabkan oleh sistem brek yang tidak efektif.

“Justeru, sistem ABS yang mengguna pakai teknologi antigelincir (antiskid) ini akan membantu untuk menghalang motorsikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang, sekali gus menambah baik tahap keselamatan motorsikal di Malaysia,” katanya.