- Iklan -
Berita

Kekangan eksport ayam undang ketidakselesaan Singapura

Republik itu memberi amaran mengenai gangguan bekalan ayam beku di negara itu dan menasihatkan pengguna membeli mengikut keperluan sahaja.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana ruangan barang basah di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
Suasana ruangan barang basah di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

Tindakan kerajaan mengurangkan eksport ayam bagi mengawal harga kenaikan harga dan menangani kekurangan bekalan makanan dalam negara mengundang ketidakselesaan Singapura, di mana negara jiran itu memberi amaran berhubung gangguan bekalan.

Malaysia menjadi negara terbaru dalam mengambil langkah mengekang eksport makanan ketika harga bahan makanan itu melonjak, selepas India yang melarang eksport gandum dan Indonesia menghentikan sementara eksport minyak sawit.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan larangan eksport 3.6 juta ayam sebulan berkuat kuasa 1 Jun depan “sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil”.

“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah yang diambil susulan aduan yang meningkat dalam kalangan orang ramai di Malaysia bagaimanapun mencetuskan kebimbangan Singapura yang bergantung kepadanya untuk mendapatkan bekalan makanan.

Menurut agensi makanan negara itu, kira-kira satu pertiga daripada import ayam Singapura datang dari Malaysia pada 2021.

Agensi itu memberi amaran tentang “gangguan sementara bagi bekalan ayam beku” dan menambah pihaknya sedang bekerjasama dengan pengimport untuk meminimumkan kesan langkah yang diambil Malaysia itu.

“Kami juga menasihatkan pengguna untuk membeli apa yang mereka perlukan sahaja.”

Beberapa pemilik gerai daging ayam di pasar segar Singapura memberi amaran mereka mungkin terpaksa menutup operasi buat sementara waktu akibat larangan eksport tersebut, lapor agensi berita CNA.

Malaysia juga turut mengeksport ayam ke pasaran negara lain termasuk Thailand, Jepun dan Hong Kong.

Selain mengekang eksport ayam, Ismail berkata Malaysia akan berusaha untuk meningkatkan bekalan ayam dengan memansuhkan permit import (AP) selain turut berikrar akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kekurangan bekalan tersebut.

Inflasi Malaysia meningkat kepada 2.2% pada Mac, dengan harga makanan meningkat sebanyak 4%.

Di peringkat global, kebimbangan mengenai kekurangan bekalan makanan semakin meningkat akibat perubahan iklim dan perang antara Rusia dan Ukraine.

Bank Dunia turut memberi amaran bahawa kenaikan harga bahan makanan menyebabkan “kesan yang sangat buruk”.