- Iklan -
Berita

Hampir 23 juta populasi dewasa lengkap divaksinasi

31.7% kanak-kanak lengkap divaksin sementara 47.3% lagi terima dos pertama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan melakukan vaksinasi kepada pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Setakat ini, 68.4% populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Petugas kesihatan melakukan vaksinasi kepada pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Setakat ini, 68.4% populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Sebanyak 22,972,947 atau 97.6% golongan dewasa di negara ini telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 23,249,217 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 16,082,337 atau 68.4% telah menerima suntikan dos penggalak.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,910,144 atau 93.5% telah lengkap divaskin, manakala 3,006,641 atau 96.6% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, sebanyak 1,126,026 atau 31.7% kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah lengkap divaksin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) manakala sejumlah 1,679,475 atau 47.3% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 8.435 dos harian telah diberikan semalam, terdiri daripada 1,852 suntikan penggalak, 3,316 dos kedua dan 3,267 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 70,813,162.

Portal Github KKM melaporkan dua kematian akibat Covid-19 semalam direkodkan di Selangor.