- Iklan -
Berita

Benarkah ganja bantu rawat penyakit bipolar?

Pakar psikiatri berkata setakat ini masih belum ada data dan kajian terperinci yang boleh mengesahkan kanabis selamat digunakan bagi tujuan perubatan.

Bernama
4 minit bacaan
Kongsi
Banyak negara telah membenarkan penggunaan ganja untuk perubatan atau rekreasi. Di Malaysia, penggunaan ganja masih menjadi kesalahan jenayah. Gambar: AFP
Banyak negara telah membenarkan penggunaan ganja untuk perubatan atau rekreasi. Di Malaysia, penggunaan ganja masih menjadi kesalahan jenayah. Gambar: AFP

Isu penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang baharu dan ia kembali hangat diperkatakan apabila berita tangkapan penyanyi nasyid Muhammad Yasin Sulaiman yang juga penghidap penyakit bipolar tular termasuk di media sosial.

Yasin yang juga seorang komposer berdepan dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah, pada 31 Mac 2022.

Gangguan bipolar, sejenis penyakit mental melibatkan perubahan “mood” atau perasaan secara luar biasa boleh membawa kepada kemurungan dan kegembiraan melampau (mania) secara berpanjangan sehingga menjejaskan aktiviti harian penghidapnya.

Bukan sahaja ia memberi kesan kepada aspek fizikal dan emosi, malah turut mempengaruhi hubungan sosial dan kerjaya penghidapnya.

Antara kaedah rawatan yang lazim digunakan bagi merawat penyakit ini ialah ubat-ubatan, psikoterapi dan cadangan perubahan gaya hidup.

Di samping itu, tidak kurang juga ada yang memilih kaedah rawatan secara alternatif termasuk menggunakan kanabis atau ganja bagi tujuan sama.

Bukan isu baru

Banyak pihak melontarkan pelbagai pandangan termasuk saranan agar kerajaan mempertimbangkan untuk “menghalalkan” penggunaan bahan itu dalam bidang perubatan dan begitu juga sebaliknya.

Pada 17 November 2021, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, permohonan bagi penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk dinilai dan didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk dipasarkan.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini tiada produk berasaskan kanabis digunakan bagi tujuan perubatan yang berdaftar di Malaysia.

Sementara itu, pada 12 April 2022, Kaukus Medical Cannabis yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu dasar berkaitan industri hemp (sejenis tumbuhan spesies ganja),  ganja untuk tujuan perubatan dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.

Sewaktu pertemuan itu perdana menteri dilaporkan memberi respons positif terhadap isu yang dibangkitkan.

Antara yang tampil memberi pandangan mengenai penggunaan ganja untuk tujuan perubatan ialah senator Ras Adiba Radzi.

Malaysia, kata beliau, harus memainkan peranan serius dengan mengambil tindakan progresif membenarkan penggunaan kanabis dan hemp terutamanya Cannabidiol (CBD) bagi tujuan perubatan.

Menurut ahli Dewan Negara yang mewakili orang kurang upaya (OKU) itu lagi, langkah membenarkan penggunaan bahan berkenaan juga akan meningkatkan akses golongan OKU kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang sejahtera.

Perlu kajian terperinci

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Psikiatri dan Pakar Psikiatri Penagihan Dr Firdaus Aziz yang menyatakan, setakat ini masih belum ada data dan kajian terperinci yang boleh mengesahkan kanabis selamat digunakan bagi tujuan perubatan.

“Ada kajian yang cuba melihat penggunaan kandungan atau bahan tertentu yang ada pada kanabis untuk rawatan psikosis tetapi belum ada data dan kajian konklusif mengenai keberkesanan dan keselamatan bahan tersebut. Penggunaan kanabis tanpa meneliti bahan serta potensinya boleh memudaratkan kesihatan seseorang.

“Terdapat komponen kimia utama atau CBD dan Tetrahydrocannabidiol (THC) yang menentukan tahap potensi kanabis. THC dikaitkan kesan psikosis, ‘high’ dan keresahan, manakala CBD memberikan ketenangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Firdaus yang berkhidmat dengan salah sebuah hospital kerajaan di Sabah berkata, kebanyakan individu yang mengambil kanabis setakat untuk bersuka-sukaan akan fokus kepada kanabis yang mempunyai nilai kandungan THC yang lebih tinggi berbanding CBD.

Beliau turut mengingatkan, penggunaan kanabis secara berpanjangan serta dalam kuantiti yang banyak boleh memberi kesan kepada kesihatan mental individu yang mengambilnya dan berisiko untuk mengalami skizofrenia.

Di samping itu, kajian turut menunjukkan kesan negatif pesakit bipolar terhadap penggunaan ganja termasuklah kes mencederakan serta bunuh diri.

“Dalam bidang psikiatri terdapat ubat-ubatan psikotropik yang berkesan merawat gangguan bipolar antaranya ubat jenis mood stabiliser yang digunakan untuk menstabilkan mood dan mampu mengurangkan tindak balas ekstrem pesakit.

“Namun begitu, perlu ditekankan keberkesanan rawatan turut melibatkan aspek rawatan psikologi seperti kaunseling dan sosial iaitu adanya sokongan keluarga. Selain keberkesanan ubat bergantung kepada kesesuaian individu itu sendiri, keberkesanan rawatan juga memerlukan kerjasama antara pesakit dan doktor yang merawat.

“Justeru, pesakit gangguan bipolar dinasihatkan untuk memahami risiko dan bahaya penggunaan kanabis untuk merawat penyakit itu dan mereka harus bertanggungjawab dengan pilihan kaedah rawatan masing-masing,” katanya.

Pilihan sendiri

Sementara itu, Pakar Psikiatri dan Psikiatri Penagihan di Klinik Pakar Alaminda, Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berpendapat, individu yang menggunakan kanabis untuk merawat gangguan bipolar adalah sebagai perawatan diri sendiri kerana memilih cara sendiri bagi merawat penyakit tersebut.

“Besar kemungkinan kandungan yang dimaksudkan (dalam kanabis) adalah sejenis Cannabinoids iaitu CBD dan THC, bagaimanapun ia memerlukan kajian saintifik yang spesifik sebelum dijadikan ubat untuk merawat gangguan bipolar kerana THC mempunyai kesan psikoaktif yang boleh menyebabkan pesakit bertambah teruk,” katanya.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia menambah, penggunaan kanabis dalam jangka masa panjang memberi kesan kepada kesihatan individu seperti pembentukan sindrom kebergantungan atau penagihan, komplikasi fizikal seperti radang paru-paru yang menyebabkan penyakit radang saluran pernafasan dan kanser paru-paru.

“Penggunaan ganja yang berpanjangan turut memberi kesan kepada sistem kognitif atau proses pemikiran seseorang, kesan psikologi dan kesihatan mental seperti kerunsingan melampau, kemurungan, delusi dan halusinasi.

“Kesan sosial yang sering dikaitkan dengan pengambilan ganja pula adalah kemerosotan prestasi dan kualiti kerja, pengabaian tanggungjawab dan konflik dalam perhubungan dengan orang lain,” katanya.

Terapi cara kerja

Dr Mohd Fadzli turut berkongsi kajian yang membuktikan penggunaan ubat-ubatan dan psikoterapi yang disokong oleh terapi lain seperti terapi cara kerja yang berterusan dapat mengawal gejala gangguan bipolar yang teruk.

Menurut beliau, kaedah itu membantu pesakit menstruktur kembali kehidupan mereka untuk bekerja dan menjana pendapatan seterusnya menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.

“Kesemua rawatan ini dibuktikan melalui kajian saintifik dan dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan penyakit gangguan bipolar untuk membimbing pengamal perubatan memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit,” katanya, menambah penggunaan dan keberkesanan kanabis dalam rawatan penyakit psikiatri dan mental ketika ini masih terhad menyebabkan ia tidak dapat digunakan secara rasmi untuk tujuan perubatan.

Beliau menambah, setakat ini di Malaysia, penggunaan ganja untuk tujuan perubatan adalah salah di sisi undang-undang dan segala jenis bahan atau ubat-ubatan yang mengandungi sebarang kandungan ganja termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saya berpendapat ganja perlu diberikan peluang untuk digunakan dalam bidang perubatan namun kita harus sabar dalam menunggu bukti dan dapatan ilmiah serta kajian saintifik yang kukuh sebelum menggunakannya dalam perawatan perubatan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan individu dengan gejala penyakit bipolar agar mendapatkan pandangan pengamal perubatan berkelayakan dan berpengalaman mengenai penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.