- Iklan -
Berita

Umno, BN Perlis sedia gerak solo tanpa PAS

Pengerusi BN Perlis Azlan Man berkata Umno negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP
Kibaran bendera PAS dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Gambar: AFP

Umno dan Barisan Nasional (BN) Perlis bersedia untuk bergerak solo tanpa melibatkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak ingin meneruskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi BN Perlis Azlan Man berkata Umno negeri tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan PAS dan apa yang dilakukan sebelum ini dibuat secara bersendirian.

“Tidak ada pun kerjasama politik antara BN dan PAS pada masa ini,” katanya yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata dapat dilihat bahawa isyarat yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS dilihat tidak konsisten sama ada mahu meneruskan atau menamatkan kerjasama MN dengan meletakkan kesalahan kepada Umno menerusi kenyataan negatif oleh beberapa pemimpin PAS sebelum ini.

“Kenyataan sebegini tidak memberikan semangat untuk kita menghidupkan kembali MN namun ia tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Umno nanti,” katanya menambah bagi meneruskan MN, ia terpulang kepada PAS untuk membuat pilihan dan Umno juga mempunyai pilihan sendiri.