- Iklan -
Berita

Najib gagal gugurkan Sri Ram sebagai pendakwa raya kes 1MDB

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan terhadap penolakan cabaran semakan kehakimannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak.
Bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes berkait 1MDB.

Panel tiga hakim diketuai Mohd Zawawi Salleh memutuskan bahawa tiada persoalan perundangan baru yang memerlukan mahkamah mendengar merit rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada pendakwaan dalam perbicaraan kesnya, lapor Malaysiakini.

Zawawi, bersama P Nallini dan Vernon Ong Lam Kiat, berkata persoalan undang-undang dalam permohonan Najib sudah diputuskan dalam prosiding rayuan yang dibawa oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 2014 untuk mencabar pelantikan Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa ad hoc dalam rayuan kes liwatnya.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan keputuan penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut.

Zawawi juga menolak permohonan Najib untuk penangguhan perbicaraan, tanpa sebarang perintah untuk kos.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes 1MDB pada Disember 2018.

Bagaimanapun, ia ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Ogos 2020.

Pada November tahun lalu, bekas perdana menteri itu sekali lagi gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Peguam kanan Najib, Shafee, turut memfailkan semakan kehakiman bagi menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

Kedua-dua mereka menuntut mahkamah supaya menarik semula pelantikan Sri Ram atau dibatalkan, mengatakan surat pelantikan bekas hakim itu tidak sah.

Mereka juga mahukan pengisytiharan dari mahkamah bahawa terdapat konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram, dan perintah untuk melarangnya daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes jenayah mereka, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Rayuan Shafee juga turut ditolak mahkamah.