Tuesday, July 5, 2022

Masih diam diri berhubung tawaran bantuan Covid, Korea Utara catat hampir 200,000 kes demam

Setakat ini, angka rasmi kematian di negara itu adalah 68 orang.

Other News

Kes demam di Korea Utara kekal di bawah 200,000 selama dua hari berturut-turut, sementara Pyongyang kekal berdiam diri terhadap tawaran bantuan untuk menangani Covid-19 dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Gelombang jangkitan Covid-19 diisytiharkan melanda negara itu pada 12 Mei lalu mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan vaksin, infrastruktur perubatan yang tidak mencukupi dan potensi krisis makanan di negara yang mempunyai 25 juta penduduk itu.

Pada Sabtu, Presiden AS Joe Biden berkata Washington telah menawarkan vaksin Covid-19 kepada China dan Korea Utara, tetapi “tidak mendapat respons.”

Korea Utara melaporkan 167,650 pesakit baru yang mengalami demam pada Isnin dan satu lagi kes kematian.

Lebih 2.33 juta dari 2.81 juta kes kumulatif yang dilaporkan sejak akhir April lalu telah pulih setakat petang Ahad, kata KCNA.

Setakat ini, angka rasmi kematian di negara itu adalah 68 orang.

Walaupun tidak memberikan sebarang respons berhubung tawaran bantuan, Korea Utara berbangga tentang pencapaiannya dalam usaha menangani penularan virus di negara itu.

“Kesedaran mengenai krisis dan tanggungjawab dalam memerangi jangkitan ini dipertingkatkan di setiap wilayah, sektor, tempat kerja di seluruh negara bagi mengekalkan pencapaian yang menggalakkan dalam usaha menangani wabak dan semua kemasukan wabak itu diperiksa melalui pelaksanaan ketat dan sekatan serantau,” kata KCNA.

Korea Utara yang dilihat berdepan masalah kekurangan bekalan alat ujian dan saringan Covid-19, masih belum mengesahkan jumlah kes positif wabak itu.

Sebaliknya, pihak berkuasa kesihatan hanya melaporkan bilangan pesakit yang mengalami simptom demam, menjadikan sukar untuk menilai skala gelombang Covid-19 di negara itu.

Pihak berkuasa Korea Utara turut mengedarkan makanan dan ubat-ubatan ke seluruh negara, dengan pegawai perubatan tentera dikerahkan untuk membantu mengedarkan ubat-ubatan selain menjalankan pemeriksaan.

KCNA berkata kilang farmaseutikal kini sedang “menyegerakan pengeluaran,” namun tidak menjelaskan ubat yang sedang dihasilkan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles