- Iklan -
Berita

Imran Khan ketuai himpunan desak pilihan raya di Islamabad

Imran berkata protes di Islamabad akan diteruskan sehingga tuntutan untuk adakan pilihan raya diterima.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan berucap semasa perhimpunan di Lahore pada 21 April. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan berucap semasa perhimpunan di Lahore pada 21 April. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan mengajak penyokongnya berhimpun di Islamabad pada Rabu bagi mendesak kerajaan baru segera mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya.

“Saya mahu seluruh negara datang ke Islamabad, di Lebuhraya Srinagar untuk Perarakan Haqiqi Azadi pada 25 Mei, saya akan jumpa anda pada pukul 3 petang,” kata Imran dalam catatan media sosial selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pada Ahad.

Sejak disingkirkan menerusi undi tidak percaya di parlimen pada April, Imran menganjurkan perhimpunan besar-besaran di seluruh Pakistan dan menolak kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif yang disifatkannya sebagai “kerajaan import”.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di bandar Peshawar, pada Ahad, Imran berkata protes di Islamabad akan diteruskan sehingga tuntutannya untuk pilihan raya baru diterima.

“Kami mahukan pilihan raya yang adil dan saksama di negara ini,” katanya.

Imran berkata kempennya sekarang adalah untuk “haqiqi azadi” (kebebasan sebenar) dan kedaulatan Pakistan.

“Ia bukan politik, ia adalah jihad menentang ketidakadilan,” katanya.

Perarakan di Islamabad akan diadakan secara aman sehubungan itu beliau meminta institusi negeri untuk kekal adil dalam perjuangannya menentang kerajaan gabungan persekutuan pimpinan parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) yang baru berusia enam minggu.

Beliau mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan PTI digulingkan melalui konspirasi dan berharap tentera terus kekal berkecuali.

Imran berkata lawatannya ke Rusia pada Februari, yang dikritik Barat, dibuat selepas berunding dengan kementerian luar Pakistan, bekas setiausaha asing dan kepimpinan tentera serta menafikan tuduhan ia keputusan peribadi.