Tuesday, July 5, 2022

Korea Utara dakwa rekod ‘pencapaian baik’ tangani Covid-19

Korea Utara kini mencatat 263,370 individu mengalami gejala demam, dengan dua kematian direkodkan.

Other News

Korea Utara mendakwa sedang mencatat “pencapaian baik” dalam usaha memerangi penularan Covid-19, meskipun jumlah individu dilaporkan mengalami demam di negara itu kini melepasi dua juta.

Menurut agensi berita negara itu, KCNA, seramai 263,370 lagi individu mengalami gejala demam, dengan dua kematian baru direkodkan.

Ia menjadikan jumlah kes demam mencecah 2.24 juta termasuk 65 kematian, setakat semalam.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memperincikan berapa daripada jumlah itu diuji positif Covid-19.

Walaupun jumlah individu bergejala semakin meningkat, Korea Utara berkata aktiviti pertanian akan tetap berjalan dan kilang masih beroperasi.

Malahan, negara itu juga sedang merancang majlis pengebumian untuk seorang bekas jeneral.

“Biarpun berada dalam situasi pencegahan epidemik kecemasan pada tahap maksimum, operasi kilang masih dikekalkan seperti biasa bagi sektor industri utama, dan projek pembinaan berskala besar berjalan tanpa gangguan.

“Keputusan baik dilaporkan berterusan dalam perang melawan epidemik ini,” lapor KCNA.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran mengenai kesan buruk terhadap 25 juta penduduk Korea Utara, berikutan jumlah pesakit yang meningkat dan isu kekurangan sumber perubatan dan vaksin di negara itu.

Pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga turut menyatakan kebimbangan berhubung penularan yang tidak dikesan jika langkah pemeriksaan sewajarnya tidak diambil.

Ia mengatakan perkara itu boleh mengundang risiko kewujudan varian baru yang lebih berbahaya.

Pada Rabu, Korea Utara berkata penularan virus di negara itu kini bergerak ke arah situasi yang lebih baik.

Namun Korea Selatan mendakwa sukar untuk membuat kesimpulan ketika ini berhubung situasi Covid-19 di negara jirannya itu kerana tidak jelas bagaimana Korea Utara mengira jumlah individu yang mengalami demam dan positif Covid-19.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) telah menawarkan bantuan kepada Korea Utara untuk memerangi Covid-19, namun belum menerima sebarang maklum balas setakat ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles