- Iklan -
Berita

Cadangan perkhidmatan internet satelit Starlink sedang diperhalusi, kata Azmin

Wujud beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan mengenai cadangan Starlink dalam memperkenalkan kemudahan internet satelit di Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali diberikan lawatan di kemudahan SpaceX, Amerika Syarikat. Gambar: Bernama
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali diberikan lawatan di kemudahan SpaceX, Amerika Syarikat. Gambar: Bernama

Starlink, penyedia Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX, merancang untuk mengembangkan operasinya di Malaysia dalam usaha meningkatkan kadar penembusan Internet di negara ini, terutama bagi kawasan luar bandar.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata bagaimanapun setakat ini, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan kerajaan (berkaitan dasar) mengenai cadangan Starlink untuk memperkenalkan kemudahan internet melalui satelit.

“Setakat ini, kerajaan telah memperhalusi beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Starlink.

“Wakil- wakil Starlink akan berada di Malaysia pada minggu hadapan untuk memperhalusi cadangan-cadangan ini, dan kita harap ini dapat dimuktamadkan dalam masa yang terdekat kerana mereka sudah bersedia datang ke Malaysia, membawa teknologi-teknologi baru ini bagi kepentingan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Bernama dan TV3 selepas bertemu wakil SpaceX dan Starlink di ibu pejabat SpaceX pada Rabu.

Azmin berkata pada masa ini, Malaysia telah mempunyai syarikat tempatan yang berpangkalan di Johor yang merupakan pengeluar utama komponen penting untuk satelit yang dibangunkan oleh Starlink.

“Hasrat mereka (SpaceX dan Starlink) adalah melihat rantaian bekalan ini dapat dikembangkan dalam kalangan syarikat tempatan, kerana dengan wujudnya pelaburan baru ini, pastinya mereka memerlukan sokongan rantaian bekalan yang lebih luas.

“Ini akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk terlibat dalam teknologi angkasa, tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata kehadiran Starlink di Malaysia penting untuk negara meneruskan usaha dalam agenda transformasi digital.

“Saya percaya dengan keberadaan Starlink di Malaysia, ia akan dapat memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di rantau Asia Tenggara dan peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Arham Abdul Rahman memaklumkan rundingan dengan SpaceX dan Starlink kini berada di peringkat pertengahan.

“Syarikat-syarikat ini melihat potensi yang dimiliki Malaysia, dan kerajaan sedang memudah cara proses untuk merealisasikan projek mereka di negara kita,” katanya kepada Bernama.

Selain pertemuan dengan SpaceX dan Starlink, Azmin juga mengadakan pertemuan dengan pihak Cue Health Inc, syarikat teknologi kesihatan yang membangunkan ujian diagnostik mudah alih untuk kegunaan di rumah.

Beliau berkata syarikat itu telah memperkenalkan peranti perubatan khususnya untuk membuat ujian- ujian termasuk ujian Covid-19 dengan teknologi terkini.

“Mereka telah mengenal pasti beberapa tapak yang sesuai untuk pelaburan ini, dan mereka akan berada di Malaysia pada Jun untuk memuktamatkan tempat yang sesuai bagi pelaburan yang akan dibawa ke Malaysia,” katanya.