- Iklan -
Berita

Pergerakan saya dipantau semasa tandatangan JV dengan PetroSaudi, kata bekas pengerusi 1MDB

Menurut Mohd Bakke Salleh, beliau tidak cuba berjumpa dengan Najib pada majlis tandatangan itu kerana tidak lagi mahu terlibat dengan 1MDB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Bakke Salleh memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pergerakan beliau dipantau rapi bahkan hingga ke tandas pada hari 1MDB menandatangani projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Bakke, 68, berkata insiden itu berlaku di pejabat 1MDB pada 2009.

“Sebenarnya pada masa itu, saya tidak lagi berada dalam Lembaga Pengarah. Saya telah dijemput untuk menghadiri majlis itu pada November 2009 berkaitan lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB.

“Majlis itu, yang diketuai Shahrol Azral Ibrahim Halmi, turut dihadiri beberapa ahli pengurusan 1MDB serta Putera Turki (Abdullah Al Saud dari Arab Saudi) dan Najib Razak,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib Razak, dalam perbicaraan bekas perdana menteri tersebut berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB.

Ditanya sama ada beliau bertemu Najib pada majlis itu, Bakke berkata: “tidak, pergerakan saya telah dipantau oleh seorang kakitangan 1MDB sejurus tiba di lokasi pejabat itu sehinggalah saya beredar meninggalkan majlis tersebut, malah ketika saya ke tandas.”

“Selepas saya meletak jawatan, saya tidak mahu terlibat dengan 1MDB, ia adalah sesuatu yang ingin saya lupakan, apa sahaja yang berkaitan dengan 1MDB, saya tidak berminat untuk ambil tahu. Saya tidak cuba untuk berjumpa dengan Najib pada majlis itu,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Bakke telah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang ditemani oleh bekas Yang di-Pertua Dewan Negara Abu Zahar Ujang, buat pertama kali seawal 2007 di pejabat beliau di Felda Holdings.

“Mereka membentangkan satu cadangan berkaitan projek tenaga diperbaharui. Kami telah mengadakan dua atau tiga mesyuarat dengan mereka. Felda kemudian membuat keputusan untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan mereka yang telah ditandatangani di hadapan Najib.

“Bagaimanapun, usaha sama itu tidak menjadi kenyataan kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat MoU itu,” katanya sambil menambah bahawa ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang syak wasangka terhadap Low atau Abu Zahar.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.