- Iklan -
Berita

Korea Utara tingkatkan pengeluaran, bekalan perubatan dalam usaha bendung Covid

Negara yang tidak mempunyai program vaksinasi itu menggalakkan rakyatnya menggunakan ubat tahan sakit dan antibiotik selain berkumur dengan air garam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Kora Utara melakukan kerja-kerja disinfeksi kawasan dalam usaha membendung Covid-19 di negara itu. Gambar: AFP
Petugas kesihatan Kora Utara melakukan kerja-kerja disinfeksi kawasan dalam usaha membendung Covid-19 di negara itu. Gambar: AFP

Korea Utara meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan dan bekalan perubatan termasuk bahan steril dan termometer bagi menghadapi Covid-19 mula menular di negara itu, kata agensi media kerajaan KCNA pada Khamis.

Menurut agensi berita itu, Korea Utara yang kini melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara telah meningkatkan pengeluaran ubat tradisional yang digunakan bagi mengurangkan demam dan kesakitan dan menyifatkan ia “berkesan dalam mencegah dan memulihkan penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu.”

Korea Utara mengesahkan gelombang Covid menular di negara itu minggu lalu.

Penularan Covid-19 di negara itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kekurangan sumber perubatan dan vaksin di mana agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia boleh menyebabkan akibat buruk terhadap 25 juta penduduknya.

Sekurang-kurangnya 262,270 orang melaporkan simptom demam, sementara seorang telah disahkan meninggal dunia pada Rabu, kata KCNA memetik data ibu pejabat pencegahan wabak kebangsaan.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan bilangan sebenar pesakit yang disahkan positif.

Setakat ini, 1,978,230 telah melaporkan simptom demam sementara 63 kematian disahkan di negara itu.

Kilang pembuatan dilaporkan telah meningkatkan pengeluaran suntikan, ubat-ubatan, termometer dan bekalan perubatan lain di Pyongyang dan kawasan berdekatan.

Sementara itu, lebih wad pengasingan turut didirikan selain mempergiat kerja-kerja disinfeksi di beberapa kawasan di seluruh negara, kata KCNA.

“Beribu tan garam telah dibawa ke bandar Pyongyang untuk menghasilkan larutan antiseptik,” kata KCNA.

Laporan itu dibuat selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengkritik penyediaan ubat-ubatan yang tidak berkesan dan menyelar pegawai kesihatan kerana respons “tidak matang” mereka terhadap wabak itu.

Korea Utara yang tidak mempunyai kempen vaksinasi kebangsaan dan rawatan Covid menggalakkan pesakit menggunakan ubat tahan sakit dan antibiotik selain ubat yang tidak disahkan, seperti berkumur dengan air garam.

Selain itu mereka juga digalakkan untuk meminum teh lonicera japonica atau daun willow bagi melegakan jangkitan.

Korea Selatan dan AS telah menawarkan bantuan kepada Korea Utara dalam usaha memerangi wabak itu, termasuk menghantar bantuan.

Bagaimanapun ia tidak mendapat maklum balas dari negara itu.

Dalam pada itu, sumber diplomatik berkata tiga pesawat Air Koryo Korea Utara dilaporkan tiba di China dan kembali ke Pyongyang pada Isnin dengan membawa bekalan perubatan.