- Iklan -
Berita

Johor kurang 15,000 hingga 18,000 jururawat

Ling Tian Soon berkata tawaran menarik yang diterima daripada Singapura dan pertambahan bilangan hospital menjadi antara faktor menyebabkan kekurangan jururawat di negeri itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Jururawat menghadiri acara sempena Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur pada 12 Mei. Gambar: Bernama
Jururawat menghadiri acara sempena Hari Jururawat Sedunia di Kuala Lumpur pada 12 Mei. Gambar: Bernama

Johor mengalami masalah kekurangan jururawat dan memerlukan kira-kira 15,000 hingga 18,000 tambahan perjawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Ling Tian Soon berkata tawaran menarik yang diterima daripada Singapura dan pertambahan bilangan hospital menjadi antara faktor menyebabkan kekurangan jururawat di negeri itu.

Beliau berkata secara keseluruhan, Johor mempunyai seramai 12,533 jururawat dengan 8,777 orang daripadanya bertugas di sektor kerajaan manakala 3,756 orang di sektor swasta.

“Ketika saya membuat lawatan rasmi ke hospital kerajaan dan swasta (di Johor) baru-baru ini, rata-rata petugas kesihatan mengetengahkan isu bahawa ramai (siswazah) terutama setelah habis pengajian, mereka pergi ke negara jiran kerana mendapat tawaran gaji yang sangat menarik.

“Mungkin bertugas sebagai jururawat sahaja tetapi gaji mereka standard dengan doktor pakar di Malaysia sekiranya ditukar mata wang,” katanya diminta mengulas mengenai jumlah perjawatan jururawat di negeri itu selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor 2022 hari ini.

Ling berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk doktor akan berhijrah ke Singapura untuk mencari peluang pekerjaan, namun kerajaan negeri akan berusaha untuk menarik mereka supaya berkhidmat di Johor.

Beliau berkata bagaimanapun masalah kekurangan jururawat yang dihadapi di negeri itu masih terkawal dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat bagi membawa isu tersebut.

Ling pada masa sama berharap agar lebih banyak kursus berkaitan kejururawatan diperkenalkan, seterusnya dapat melahirkan lebih ramai jururawat sama ada untuk berkhidmat di hospital kerajaan ataupun swasta.