- Iklan -
Berita

Sarawak sebulat suara luluskan RUU kawalan ruang udara

Timbalan Menteri Undang-Undang Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ia akan memastikan ruang udara negeri digunakan selaras dengan rancangan kerajaan negeri, terutama bagi penubuhan dan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara sebuah perkampungan nelayan Pulau Salak, Sarawak. Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dijangka dapat membantu menambah baik infrastruktur telekomunikasi di negeri itu khususnya di kawasan luar bandar.
Pemandangan dari udara sebuah perkampungan nelayan Pulau Salak, Sarawak. Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dijangka dapat membantu menambah baik infrastruktur telekomunikasi di negeri itu khususnya di kawasan luar bandar.

Rang undang-undang (RUU) untuk meningkatkan kawalan Sarawak ke atas ruang udaranya melalui pindaan terhadap Kanun Tanah Negara diluluskan secara sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu hari ini.

RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Bercakap semasa perbahasan DUN mengenai cadangan pindaan itu, beliau berkata pindaan itu akan memastikan spektrum ruang udara negeri dapat digunakan selaras dengan rancangan Sarawak, terutama dalam usaha penubuhan dan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi.

“RUU itu akan memberikan hak kawal selia kepada negeri terhadap ruang udaranya, demi memastikan syarikat penyedia perkhidmatan dapat meluaskan liputan telekomunikasi ke kawasan luar bandar,” katanya.

“Ini penting supaya penduduk di luar bandar tidak ketinggalan.”

Beliau berkata pindaan juga akan membolehkan kawal selia penggunaan tanah bagi simpanan karbon syarikat minyak dan gas.

“Usaha untuk mendapatkan hak mengawal selia spektrum ruang udara (dengan meluluskan RUU ini) tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau menjawab soalan Adun Padungan Chong Chieng Jen yang berhujah perundangan mengenai penggunaan ruang udara Sarawak mungkin tidak sah kerana ia bercanggah dengan hak DUN dalam menggubal perkara-perkara yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan senarai perundangan negeri, persekutuan dan bersama.

“Saya tidak membantah jika kerajaan negeri cuba dapatkan hasil tambahan, tetapi kita terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan dianggap sebagai tidak sah,” katanya.

“Jika anda lihat senarai perundangan persekutuan, kuasa berhubung ruang udara adalah di bawah bidang kuasa persekutuan, saya percaya ia terletak di bawah Perkara 10 berkenaan telekomunikasi dan pengangkutan.”

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mendesak supaya perkara dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dipinda.

“Jika kerajaan negeri benar-benar mahu menggubal undang-undang dan mendapatkan hak ke atas spektrum ruang udara Sarawak, maka cara yang betul untuk melakukannya ialah dengan membentangkan RUU pindaan Perlembagaan di Parlimen daripada menggubal RUU itu dan mendakwa kita mempunyai hak ke atasnya,” katanya.

“Pada masa ini, apa yang saya lihat, pembentangan RUU pindaan ini dan dakwaan bahawa kita mempunyai hak untuk menggubal undang-undang tersebut seakan cara ‘kampung’ untuk dapatkan kuasa.”