- Iklan -
Berita

Sarawak bentang RUU untuk kawal ruang udara negeri

Rang undang-undang itu juga akan memperuntukkan penggunaan tanah di kawasan darat dan luar pesisir pantai bagi penyimpanan karbon dioksida.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Waterfront, Kuching.
Pemandangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Waterfront, Kuching.

Sarawak sedang berusaha untuk mengawal ruang udara di negeri itu melalui rang undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sekiranya RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2022 tersebut diluluskan, ia akan memberikan takrifan baru bagi istilah “tanah”, selaras dengan Kanun Tanah Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 44 Kanun Tanah Negara meliputi dan termasuk ruang udara di atas tanah,” kata Timbalan Menteri Undang-Undang Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika membentangkan RUU itu.

“Di bawah Seksyen 75A Kanun Tanah Negara, pihak berkuasa negeri di semenanjung mempunyai kuasa untuk membenarkan penggunaan ruang udara di atas tanah negeri.

“Jadi, cadangan pindaan di sini akan menjadikan ruang udara di atas tanah termasuk dalam takrifan tanah. Dalam erti kata lain, ia akan menjadikan ruang udara sebahagian dari tanah.”

Sharifah, yang memegang portfolio merangkumi isu-isu berkait Perjanjian Malaysia 1963 dan hubungan antara negeri dan persekutuan itu turut berkata ia akan membolehkan kerajaan negeri mengawal ruang udara serta sebarang perkara berkaitan.

Ia juga akan membolehkan kerajaan negeri memastikan spektrum ruang udaranya digunakan mengikut perancangan yang diputuskan di peringkat negeri, terutama dalam perkara yang melibatkan penubuhan dan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi Sarawak.

RUU itu juga akan memperuntukkan penggunaan tanah baik di kawasan darat dan luar pesisir pantainya bagi tujuan penyimpanan karbon dioksida.

Jika RUU itu diluluskan, ia akan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama dalam negara yang mempunyai perundangan bagi membolehkan industri, termasuk minyak dan gas mematuhi piawaian antarabangsa, kata Sharifah.

Beliau menambah ia adalah selaras dengan strategi global untuk mengurangkan pelepasan karbon di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

RUU itu dibentangkan di DUN Sarawak berikutan perjanjian bersama yang ditandatangani antara Sarawak Shell Bhd dan Petronas awal tahun ini untuk menjalankan kerjasama kajian penangkapan dan penyimpanan karbon.

RUU itu secara khusus dibentangkan bagi meminda Seksyen 37 dan 213 Kanun Tanah.

Pindaan Seksyen 37 itu akan memberikan hak kepada Sarawak untuk membuat peraturan dan mengawal penggunaan ruang udaranya selain penggunaan tanah untuk simpanan karbon.

Pindaan Seksyen 213 pula akan memberi kuasa kepada Kabinet negeri dalam menetapkan peraturan penggunaan ruang udara dan tanah untuk penyimpanan karbon.