Monday, July 4, 2022

Penumpang antarabangsa dapat bayaran tiket selepas spam akaun media sosial AirAsia

Walaupun gembira menerima wang mereka semula, namun mereka menyatakan kekecewaan terhadap perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Other News

Selepas berbulan-bulan menunggu, seorang warga India Sanjay Banerjee akhirnya berjaya mendapatkan semula wang dari AirAsia bagi tiket penerbangannya yang dibatalkan apabila dia melakukan “spam” pada akaun LinkedIn syarikat penerbangan tambang murah itu.

Sanjay yang berasal dari Kolkata berkata, dia terpaksa menggunakan cara yang menjengkelkan itu kerana sudah hilang sabar apabila usahanya untuk berhubung dengan AirAsia untuk bertanyakan mengenai tuntutan wang bayaran balik tiket penerbangan dari Kolkata ke Bali, Indonesia – menerusi penerbangan ke Kuala Lumpur – itu tidak berjaya.

Menurut Sanjay, dia menempah tiga tiket penerbangan bertarikh 15, 19 dan 22 April 2020, namun penerbangan itu dibatalkan susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Katanya, disebabkan pembatalan itu, dia menerima bayaran balik dalam bentuk kredit yang mempunyai tarikh luput dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, dia tidak setuju penerimaan kredit dan menuntut supaya syarikat tersebut membayarnya secara tunai.

“Sejak itu saya membuat aduan kepada mereka mengenai perkara ini serta mempersoalkan kenapa ada tarikh luput dan bagaimana jika saya tidak boleh mengembara dalam tempoh dua tahun ini?” Soalnya ketika wawancara bersama MalaysiaNow.

“Pada mulanya saya menghantar emel kepada mereka selain merungut mengenai perkara ini di Facebook dan Twitter.”

Mengulas lanjut, Sanjay berkata, dia berjaya mendapat maklum balas dari AirAsia pada Januari 2021 menerusi Twitter yang memaklumkan bayaran baliknya akan diterima dalam tempoh enam minggu, namun selepas menunggu setahun, janji itu tidak ditunaikan.

“Pada Ogos 2021, mereka menghantar emel meminta butiran akaun saya untuk melakukan transaksi bayaran balik.

“Tetapi ia mempunyai syarat bahawa saya perlu membalasnya dalam tempoh tujuh hari atau kes akan ditutup,” katanya dan menambah emel itu dibalas pada hari sama.

Menurut Sanjay, selepas membalas emel pada Ogos 2022 itu, dia menunggu sehingga Januari 2022, namun masih tidak menerima wangnya semula.

Disebabkan hilang sabar, Sanjay mula melakukan spam apabila dia sering memuat naik soalan mengenai status bayaran baliknya pada ruangan komen akaun LinkedIn Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad Tony Fernandes sebelum dia disekat dua minggu kemudian.

“Kemudian saya cari akaun LinkedIn kakitangan AirAsia dan melakukan perkara sama sehinggalah seorang individu dari bahagian komunikasi syarikat itu membalas dan memaklumkan bahawa ada seseorang dari AirAsia akan menghantar email kepada saya,” katanya.

“Emel itu memaklumkan bahawa saya proses bayaran balik itu akan mengambil masa tiga minggu, dan akhirnya saya berjaya mendapatkan semua bayaran bagi ketiga-tiga tempahan tiket yang dibuat.”

Mengulas lanjut, Sanjay turut meluahkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan pelanggan AirAsia kerana sukar berkomunikasi dengan “manusia” hingga dia terpaksa melakukan cara yang menjengkelkan itu bagi mendapatkan semula wangnya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang dari Filipina, Rose Marie Jane Rementina, juga dapat menarik nafas lega apabila dia akhirnya menerima bayaran tiket penerbangan yang di beli pada Mac 2020.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Rose mengakui bahawa proses menuntut semula wangnya bukanlah mudah, namun dia tidak berputus asa meskipun usahanya sudah berlanjutan sehingga dua tahun.

Malah, dia sebelum ini juga dimaklumkan proses bayaran balik oleh AirAsia sudah selesai, namun duitnya tidak kelihatan dalam bank akaunnya.

“Apa saya buat seterusnya? Saya kumpulkan segala perbualan saya dengan perkhidmatan pelanggan mereka sejak 2020 dalam Twitter,” katanya.

“Saya terus menghantar emel kepada CAB (Civil Aeronautics Board) serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan beberapa pihak lagi.

“Proses ini diulangi, tetapi ia mungkin berhasil apabila saya kongsikan artikel yang ditulis MalaysiaNow bertajuk ‘Penumpang luar negara AirAsia bersatu tuntut ganti rugi tiket penerbangan’ untuk menunjukkan betapa seriusnya kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rose turut bertanya kepada AirAsia jika dia melakukan spam pada akaun media sosial syarikat penerbangan itu akan membantu mendapatkan perhatian mereka serta-merta.

“Mungkin ini yang membuatkan mereka panik,” katanya berseloroh.

Tambah Rose, ini merupakan satu pengalaman yang memenatkan bagi dirinya dan dia akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk terbang bersama syarikat itu pada masa hadapan.

MalaysiaNow sudah cuba menghubungi AirAsia untuk mendapatkan penjelasan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles