Monday, July 4, 2022

Kemiskinan, penyakit mental sebabkan lelaki Sarawak dirantai

Keluarga Apui tiada pilihan selain merantai lelaki itu di rumah mereka yang terletak di kawasan setinggan Bintulu.

Other News

Di pintu masuk sebuah rumah terbiar di Bintulu, seorang lelaki berseluar pendek dan memakai singlet kuning duduk memangku seekor anak anjing sementara sebelah kakinya dirantai ke dinding.

Apui (bukan nama sebenar) tinggal bersama ibunya dan empat lagi keluarga yang mendiami kawasan rumah setinggan di tengah bandar itu.

Selama berbulan-bulan, begitulah rutin harian Apui.

Selalunya, dia akan duduk dan bercakap seorang diri.

Kadangkala, dia akan berbaring di depan pintu dan melihat dunia di depannya.

Rantai kakinya dilonggarkan bagi membolehkan Apui bergerak, namun pergerakannya tidak lebih dari satu atau dua meter.

Apui adalah salah satu simbol kemelaratan dan kemiskinan yang menggambarkan sebahagian kehidupan di bandar itu.

Satu ketika dahulu, Bintulu merupakan sebuah perkampungan nelayan yang tidak sibuk.

Namun, kini kegiatan ekonominya pesat membangun selepas penemuan minyak dan gas.

Ia kemudian disusuli dengan industri pembalakan, kelapa sawit dan pembangunan industri berat.

Kesemua aktiviti ekonomi itu menyaksikan taraf kehidupan di Bintulu semakin berkembang.

Namun, ketika ia terus membangun, jurang antara golongan yang kaya dan miskin mulai melebar.

Dengan peluang yang dilihat menjanjikan, ramai penduduk luar bandar berhijrah ke kawasan bandar dengan harapan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Bagaimanapun, ramai yang tidak berjaya meraih kehidupan yang lebih baik dan akhirnya terpaksa memilih untuk mendiami kawasan setinggan.

Orang seperti Apui yang menghidap sakit mental adalah golongan yang paling teruk terkesan dengan keadaan itu.

Ibu Apui memperolehi pendapatan dengan hasil menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar kawasan itu sementara pada sebelah malamnya, dia menyelongkar tempat pembuangan sampah demi mencari barang yang boleh dijual semula.

Semua hasil usaha keras itu tidak cukup untuk membeli makanan di rumahnya, apatah lagi untuk ubat bagi merawat Apui.

Ekoran itu, pilihan yang ada hanyalah membiarkan Apui dirantai di rumah mereka bagi mengelakkan dia melarikan diri.

Semasa kecil, Apui sama seperti kanak-kanak lain di kampung itu.

Apabila umurnya semakin meningkat, dia membantu ibu bapanya bekerja untuk mencari rezeki.

Malangnya, Apui terlibat dengan dadah dan kesihatan fizikal dan mentalnya mula merosot.

Kini, keluarganya terpaksa merantai Apui sebagai langkah terakhir.

“Mereka perlu merantainya kerana kadang-kadang dia jadi agresif dan boleh bertindak ganas terhadap orang ramai,” kata aktivis Francis Ngu Hown Hua kepada MalaysiaNow.

“Mereka melakukan ini untuk kebaikannya juga. Betul, ia kelihatan tidak berperikemanusiaan. Namun apa lagi yang mereka boleh lakukan? Jika dia dibiarkan bersendirian di luar dengan keadaannya begitu, dia mungkin membahayakan orang lain.

“Orang di luar juga mungkin boleh membahayakan Apui jika mereka tidak tahu kisah sebenar.”

‘Busuk’

Bersendirian sejak kematian suaminya beberapa bulan lalu, ibu Apui cuba sedaya upaya menjaga anak lelakinya itu.

Apui akan dimandikan setiap hari dan tempat dia membuang air akan dibersihkan.

Namun, ia tidak mampu menghilangkan bau busuk yang menyelubungi kawasan itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Sosial mendekati Apui di kaki lima kedai di Bintulu.

Menurut Ngu, dia menerima banyak aduan mengenai Apui sewaktu lelaki itu melarikan diri dari rumah.

“Dia tidur merata tempat, di kaki lima kedai sepanjang jalan. Dia berak dan kencing merata-rata.”

Orang ramai termasuk pemilik kedai dan pelanggan turut membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Tetapi tiada tindakan diambil,” kata Ngu.

“Mereka berkata tiada apa yang boleh mereka lakukan selain menghantarnya pulang kepada keluarganya. Di kemudahan pihak berkuasa tiada lagi ruang untuknya.”

Keluarga Apui tidak tahu apa masalah sebenar yang dihadapi lelaki itu kerana dia tidak pernah didiagnosis secara rasmi.

Mereka mahu menghantarnya untuk mendapatkan rawatan, namun tidak mampu berbuat demikian.

Kenal pasti di peringkat awal

Menurut ahli psikologi Dr Bernard Ting, jika diberi sokongan yang betul, orang yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh hidup dan bahkan berkembang dalam komuniti mereka sendiri.

Namun katanya, lebih banyak usaha diperlukan untuk mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan stigma terhadap pesakit mental.

“Mengenal pasti pada peringkat awal dan rawatan yang sewajarnya dapat mengurangkan risiko tingkah laku agresif,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Banyak gangguan mental boleh dirawat dan pesakit boleh dipulihkan – dengan syarat mereka terus mendapatkan rawatan susulan,” tambahnya.

Walaupun tingkah laku agresif boleh berpunca daripada banyak faktor, namun Ting berkata majoriti mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak menunjukkan perilaku ganas.

“Kurang dari 10% orang yang mengalami gangguan mental yang teruk menjadi ganas,” katanya,

“Kebiasaannya mereka ini tidak didiagnosis, dan tidak dirawat tepat pada waktu sepatutnya.”

Sebaliknya, Ting berkata pesakit mental lebih terdedah untuk menjadi mangsa keganasan.

Namun, ia bukan masalah yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

Selain kekurangan hospital dan doktor, terdapat juga stigma yang terhadap pesakit mental sehingga menyebabkan proses rawatan lebih mencabar.

“Orang ramai perlu diajar cara berkomunikasi dengan golongan ini,” kata Ting.

“Kecelikan masyarakat mengenai kesihatan mental adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang keadaan kesihatan mental dan sumber rawatan yang ada, supaya orang yang kita sayangi boleh menerima rawatan tepat pada masanya sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.”

Namun bagi pesakit seperti Apui dan keluarganya, yang bergelut dengan kemiskinan menjadi antara punca penyakitnya.

Diagnosis dan rawatan masih belum pasti bakal mengubah keadaan mereka untuk menjadi lebih baik.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles