- Iklan -
Berita

SPRM tahan penjawat awam Selangor berhubung kes rasuah RM80,000

Pegawai agensi kerajaan itu ditahan selepas menerima wang tunai di Bangi petang tadi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000 bagi kerja pembaikan sebuah sekolah di negeri itu.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 35 tahun itu adalah seorang penolong jurutera di sebuah agensi kerajaan.

Sumber turut berkata suspek adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek terbabit.

Lelaki itu ditahan pegawai SPRM Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran sekitar Bangi kira-kira jam 4.00 petang tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.