- Iklan -
Berita

Penghijrahan balik kampung mampu kurangkan kesesakan bandar?

Ia mungkin boleh menjadi jalan penyelesaian bagi masalah kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Lampu merah kereta mewarnai kegelapan kesesakan trafik di lebuh raya setiap kali musim perayaan. Hijrah pulang ke kampung, mungkin dapat menjadi solusi isu yang terus berlarutan dalam negara. Gambar: Bernama
Lampu merah kereta mewarnai kegelapan kesesakan trafik di lebuh raya setiap kali musim perayaan. Hijrah pulang ke kampung, mungkin dapat menjadi solusi isu yang terus berlarutan dalam negara. Gambar: Bernama

Berhijrah bukan perkara asing dalam hidup Abdul Azim Che Abdul Rahim.

Sejak kecil, dia mengikuti ayahnya berpindah-randah kerana tugas bapanya sebagai guru.

Menginjak usia dewasa, lelaki itu menetap di Kuala Lumpur selepas tamat pengajian tinggi.

Namun setelah beberapa tahun hidup di celah kota, Azim mengambil keputusan untuk pulang ke kampungnya di Kedah.

“Jiwa macam memberontak sedikit ketika duduk di Kuala Lumpur, mungkin sebab ada jiwa kampung. Seakan mencari-cari jalan keluar dari kota.

“Saya dapat idea untuk balik ke kampung, tanam makanan sendiri, dan aktiviti lain seperti eco-village,” katanya kepada MalaysiaNow.

Peluang untuk merealisasikan impian itu terbuka apabila dia berkesempatan untuk menyertai kursus permakultur di Petaling Jaya.

Episod baru bermula apabila dia belajar berkebun, mengembara ke luar negara dan pulang semula ke tanah air.

Dia memulakan projek berasaskan pemuliharaan, eko pelancongan dan pendidikan bersama beberapa rakan di Kedah yang bermula di Kampung Sungai Batu dan kemudian di Pulau Bidan di Yan, Kedah.

“Jadi saya tinggal di kampung sejak 2015.

“Akhir sekali saya menetap di SRI Lovely Farm di Kampung Belantik, Sik, Kedah untuk belajar pertanian padi organik.”

Beberapa perkembangan terkini yang semakin kerap berlaku secara berulang menimbulkan persoalan mengenai kelestarian kehidupan di bandar-bandar besar di Malaysia, utamanya Lembah Klang dan kawasan membangun sekitarnya.

Banjir kilat dalam beberapa minggu lalu menenggelamkan sebahagian jalan raya ketika waktu puncak yang mengakibatkan beberapa kenderaan tenggelam.

Gambar dan video ketika kejadian memberi gambaran menakutkan tentang situasi dan keupayaan bandar seperti Kuala Lumpur untuk menampung perubahan iklim masa kini.

Banjir di Kuala Lumpur berlaku ketika ingatan kepada banjir besar yang terjadi di sekitar Selangor hujung tahun lalu masih segar.

Selain itu, pada musim perayaan Aidilfitri yang masih disambut ketika ini, warga kota terperangkap dalam “kesengsaraan” apabila Kuala Lumpur ibarat lumpuh pada waktu-waktu tertentu akibat kesesakan jalan raya.

Menurut laporan sebelum ini, penduduk Kuala Lumpur menghabiskan 13.4 hari setahun dalam kesesakan jalan raya.

Ia sekali gus memberi impak kepada kesihatan mental rakyat yang pulang dari kerja.

Isu kesesakan jalan raya juga menjadi topik semasa perayaan ini apabila warga kota berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing selepas dua tahun tidak dibenarkan beraya akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Berjuta-juta kenderaan dilaporkan meinggalkan ibu kota manakala ada pengguna yang terperangkap lebih lapan jam di atas jalan raya akibat kesesakan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ketua jabatan perancangan bandar dan wilayah Universiti Malaya, Nikmatul Adha Nordin berkata, penghijrahan balik ke kawasan luar bandar boleh menjadi penyelesaian kepada masalah kesesakan di bandar.

“Sekiranya faktor utama iaitu ekonomi dan ketersediaan peluang pekerjaan boleh diperoleh di desa dan dilengkapi kemudahan dan infrastruktur yang baik seperti bandar, penghijrahan balik boleh menjadi fenomena yang baik bagi menyeimbangkan pembangunan agar tidak berlaku jurang yang ketara antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya, masalah timbul di bandar kerana penduduk dari luar bandar mencari pekerjaan yang lebih baik.

Namun ia menyebabkan kesesakan perumahan, infrastruktur dan penurunan kualiti hidup.

Ia mengakibatkan proses urbanisasi kemiskinan, yang mana masalah yang terkait dengan luar bandar seperti kemiskinan dibawa ke kawasan bandar.

Menurut rekod, penduduk di Kuala Lumpur bertambah 1.05% setiap tahun dan angkanya diramal mencecah 2.25 juta menjelang 2040.

Kerajaan sebelum ini mengeluarkan dokumen Dasar Perancangan Fizikal (DPF) Desa Negara 2030 yang menumpukan aspek pembangunan sosial, ekonomi, alam sekitar, pengangkutan dan infrastruktur.

Menurut Nikmatul, anak muda di desa tidak perlu lagi berhijrah ke bandar sekiranya dasar itu dilaksanakan dengan berjaya.

“Ada desa yang sudah lengkap kemudahannya, tetapi ada yang masih ketinggalan.

“Pelaksanaan DPF Desa Negara masih bergantung kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.