- Iklan -
Berita

Guru curah bakti, di mana sahaja mereka berada

Di bandar atau pedalaman, guru tetap mengajar dengan sepenuh hati untuk menyebarkan ilmu dan nilai kepada murid.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Guru memberikan penerangan kepada murid di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Ampang, Kuala Lumpur.
Guru memberikan penerangan kepada murid di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Ampang, Kuala Lumpur.

Selama 16 tahun, Muhammad Sany Kasmori mencurahkan bakti sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18 di Shah Alam, Selangor.

Walaupun melakukan tugas yang sama berbelas tahun, dia tidak pernah jemu dengan kerjayanya.

Meskipun mengajar di kawasan bandar yang sudah membangun, lelaki berusia 41 tahun berkata ia bukan semudah yang disangka.

“Cabaran guru ini terlalu subjektif untuk diterjemahkan kerana setiap guru melalui cabaran yang sangat berlainan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Sany yang mengajar mata pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan itu, cabaran yang hadir di bandar ialah kemajuan teknologi masa kini yang semakin pesat, memaksa guru bergerak setapak lebih daripada murid-murid.

Katanya, guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu baru.

“Murid di bandar juga berbeza dengan murid di kampung. Begitu juga dengan ibu bapa.

“Jika dalam satu keluarga ada insan yang bergelar guru saya yakin mereka juga akan terkejut dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh guru,” katanya.

Kemudahan internet di setiap sekolah antara isu yang katanya perlu dipertingkatkan dalam memastikan proses pembelajaran dapat dijalankan selari dengan transformasi pendidikan.

Dedikasi

Pada 2018, bancian oleh Bancian Pendidikan Global oleh University of Cambridge mendapati guru-guru di Malaysia antara yang paling berdedikasi di dunia dalam usaha mendidik pelajar.

Seorang lagi guru yang mengajar di bandar, Norjilawati Mohd Amin yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam di Shah Alam berkata, selain ilmu-ilmu baru yang hadir pada abad ke-21 ini, apa yang penting ialah perwatakan, keilmuan dan kemahiran profesional yang sentiasa relevan sepanjang zaman.

Sesuai dengan mata pelajaran moral yang diajarnya, wanita berusia 36 tahun itu berkata, cabaran sebenar ialah bagaimana “memanusiakan manusia”, di tengah-tengah era kegawatan dan kemusnahan nilai moral, akhlak, adab dan tabii manusia.

“Guru-guru tidak berkesempatan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap pengajarannya.

“Hasilnya, guru terpaksa menghabiskan isi kandungan mata pelajaran kerana bimbang pelajar tidak mampu menjawab sekiranya tajuk yang tidak diselesaikan akan keluar dalam peperiksaan,” katanya.

Norjilawati berkata, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana membentuk insan yang ingin dilahirkan oleh pendidikan masa kini.

Bagi Idi Johan Mohd Zohdi, yang mengajar di Sekinchan, Selangor hubungan mesra antara ibu bapa dan guru membantu dalam menyelesaikan isu membabitkan pendidikan di waktu luar sekolah.

“Rata-rata ibu bapa di sini terdiri dari petani, nelayan, peniaga, buruh dan sebahagian kecil merupakan penjawat awam.

“Cuma, sedikit cabaran dari segi kewangan keluarga dan kemudahan internet perlu dihadapi oleh guru seperti saya,” katanya yang mengajar subjek Matematik.

Tambahnya, rata-rata keluarga berpendapatan rendah dan ia sedikit-sebanyak mengganggu fokus murid dalam proses belajar.

Pada waktu lapang, mereka akan bekerja sendiri atau membantu ibu bapa di kebun dan sawah.

“Kerja sekolah yang diberi akan dibiarkan sahaja,” katanya.

Bukan sahaja anak muridnya yang berdepan masalah tersebut sepanjang dua tahun pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), malah Idi juga mengalami masalah rangkaian internet.

“Saya sendiri perlu keluar ke jalan besar untuk mendapatkan liputan internet yang baik demi untuk menjalankan proses PdPR.

“Jika ada pelajar yang tidak dapat dihubungi, saya sendiri hadir ke rumah mereka untuk memberikan sebarang lembaran kerja,” katanya.

Sementara Sany pula memberitahu, meskipun ada masanya “semangat” guru semakin berkurangan, namun apabila wajah anak-anak murid ditenung, ia membuatkan semangat itu datang kembali.

“Harapan semua insan yang bergelar guru adalah mengharapkan supaya masyarakat lebih cakna terhadap sesuatu isu apabila melibatkan guru bukan hanya mencari kesalahan guru.

“Bersama-sama dengan kami untuk memastikan generasi masa hadapan kita ini supaya tidak rosak dan terus hanyut.”