- Iklan -
Berita

Saya dilantik lembaga pengarah, bukan Jho Low, kata bekas setiausaha 1MDB

Bagaimanapun, Lim Poh Seng berkata beliau telah mengenali Jho Low sebelum menyertai 1MDB.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Gambar: AFP

Bekas setiausaha syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pelantikannya dalam 1MDB dibuat atas kelulusan lembaga pengarah (BOD) dan bukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taik Jho atau Jho Low.

Lim Poh Seng, 51, berkata pelantikannya bukan dibuat oleh mana-mana individu tetapi secara kolektif oleh BOD.

Saksi pendakwaan ke-18 itu bagaimanapun berkata beliau mengenali Jho Low sebelum menyertai dana kekayaan negara itu.

“Jho Low telah menghubungi saya untuk menawarkan beberapa kerja perkhidmatan korporat kepada beberapa syarikat yang disyorkannya, namun saya tidak ingat tahun bila. Saya juga tidak ingat apa syarikat yang dia cadangkan itu,” kata saksi berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu atas dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.