- Iklan -
Berita

Permohonan rujuk persoalan undang-undang berhubung siasatan hakim didengar 23 Jun

Ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa siasatan SPRM ke atas hakim Mohd Nazlan Ghazali adalah tidak berperlembagaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Jun ini untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis bagi merujuk dua persoalan undang-undang berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam A. Surendra Ananth dan Wong Ming Yen yang mewakili ketiga-tiga individu itu dan peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Persoalan undang-undang itu dinyatakan dalam permohonan dua peguam, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai serta aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim selaku plaintif berkaitan saman pemula mereka terhadap ketiga-tiga defendan bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Dua persoalan itu ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Mazlifah ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan membantah permohonan berkenaan selain memaklumkan mahkamah turut mengarahkan pihaknya memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 2 Jun.

Surendra pula berkata mahkamah mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 22 Jun.

Menerusi saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata media melaporkan bahawa SPRM telah memulakan siasatan terhadap Nazlan berkenaan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya dan siasatan ini kononnya dimulakan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh badan eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Baru-baru ini, Nazlan, yang mendengar kes Najib Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 21 April memaklumkan bahawa Nazlan menafikan dakwaan palsu, tidak berasas dan berniat jahat itu yang bertujuan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang hakim serta mengganggu pentadbiran keadilan jenayah dan badan kehakiman.