- Iklan -
Berita

Najib, Anwar kongsi idealisme, baik untuk negara, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata idea daripada debat antara dua tokoh tersebut perlu menjadi dasar negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama dalam Debat Perdana malam tadi di Dewan Tunku Abdul Rahman di Matic.
Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama dalam Debat Perdana malam tadi di Dewan Tunku Abdul Rahman di Matic.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan kombinasi idea daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam debat malam tadi untuk menjadi dasar negara.

Zahid berkata, sekiranya kombinasi idea antara dua tokoh itu dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan, ia dipercayai dapat menghapuskan soal “titik bengik” serta cabang dan ranting yang menghantui pemikiran rakyat pada masa hadapan.

“Mereka merupakan dua sahabat lama tetapi berada di pentas yang berbeza,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi debat secara langsung antara Najib dan Anwar malam tadi.

“Dari segi idealisme, kedua-duanya mempunyai perkongsian idealisme, persoalan yang timbul adalah bagaimana menginterpretasi dan melaksanakannya.”

Debat antara Najib dan Anwar itu dicetuskan oleh pertembungan di media sosial berkait isu Sapura Energy Bhd yang merupakan syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang berdepan masalah kewangan.

Bagaimanapun penganalisis mengatakan debat antara kedua tokoh itu hanya memberikan “perhatian tidak perlu” kepada Najib yang sudah disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Mengulas lanjut, Zahid mencadangkan supaya wacana seperti itu diadakan lagi secara lebih kerap pada masa hadapan supaya dapat merungkaikan lebih banyak masalah.

Katanya, perbahasan yang diadakan secara empat segment itu juga dilihat sebagai satu proses kematangan politik di negara.

“Kita bukan hanya mahu merungkaikan permasalahan satu kumpulan tetapi yang lebih penting supaya rakyat dapat diberikan kefahaman biarpun tafsiran dan pandangan itu berbeza,” katanya.

Zahid merupakan antara pemimpin Umno yang mempromosikan jajaran politik baru antara partinya dengan PKR.

Ketika Anwar masih bersama Umno sebelum dipecat pada 1998, Zahid merupakan ketua pemuda yang bersekutu dengannya.

MalaysiaNow sebelum ini pernah mendedahkan bagaimana Zahid dan Najib menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri.