Friday, May 13, 2022

Majikan kurang dari 5 pekerja dikecualikan bayar gaji minimum hingga hujung tahun

Bagaimanapun, majikan terlibat dalam bidang profesional seperti peguam dan doktor perlu mengikut pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada setiap pekerja.

Other News

Majikan yang terlibat dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diberi pengecualian pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata bagaimanapun majikan terlibat dalam bidang profesional seperti peguam dan doktor tetap perlu mengikut pelaksanaan PGM yang perlu membayar gaji RM1,500 kepada setiap seorang pekerja.

“Semua majikan dalam mana-mana sektor ekonomi tidak dikecualikan dalam pelaksanaan PGM yang mula dikuatkuasakan 1 Mei lepas. Tetapi bagi majikan PMKS lain, mereka diberi penundaan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Kelonggaran ini adalah bagi memberi ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya berhubung pembayaran gaji yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam.

Pada 27 April lepas, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lepas yang mana bagi majikan menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan sesuatu aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Masco) 2020, kadar gaji minumum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei.
 
Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang perkerja, kuat kuasa gaji minimum RM1,500 bermula 1 Januari 2023.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bayaran faedah kepada 13 orang berinsurans yang berjumlah keseluruhan lebih RM26,100.

“Perkeso Kedah telah membuat bayaran faedah kepada orang berinsurans sebanyak lebih RM29 juta pada 2021 berbanding lebih RM41 juta pada 2020. Berlaku penurunan sebanyak 28.85% jumlah bayaran dibuat berikutan pada 2020 keadaan Covid-19 ketika itu masih teruk.

“Selain itu, Perkeso Kedah turut membuat bayaran untuk kes Covid-19 kepada orang berinsurans yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja sejak Januari hingga April 2022 yang berjumlah lebih RM7 juta dengan 4,633 kes,” katanya.

Dalam pada itu, Awang turut menyeru dan berharap individu yang bekerja sendiri seperti nelayan, pekebun dan penoreh getah untuk turut sama mencarum dengan Perkeso bagi memastikan nasib mereka terbela sekiranya ditimpa kemalangan atau musibah ketika sedang bekerja.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles