- Iklan -
Berita

Tiada sebab kadar faedah OPR ditingkatkan, kata ahli ekonomi

Langkah bank pusat itu juga mungkin akan menyebabkan kos pinjaman meningkat bagi peminjam korporat dan pengguna.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2020 menyaksikan kenaikan Kadar Dasar Semalaman 25 mata asas kepada 2%. Gambar: AFP
Bank Negara Malaysia menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2020 menyaksikan kenaikan Kadar Dasar Semalaman 25 mata asas kepada 2%. Gambar: AFP

Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai sebab kukuh untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0% seperti yang diumumkan semalam, kata ahli ekonomi kerana tindakan itu tidak akan memberi kesan kepada isu inflasi yang menjadi kegusaran di negara lain.

Ahli ekonomi daripada Malaysia University of Science and Technology, Prof Geoffrey Williams berkata, mandat BNM ialah untuk mengekalkan kestabilan harga, menyokong pertumbuhan ekonomi lestari dan menyokong kestabilan sistem kewangan.

“Kestabilan harga mengambil kira kadar 2 hingga 3% inflasi yang merupakan kadar sekarang. Ekonomi berada dalam peringkat pertama pemulihan namun ini masih tentatif dan sistem kewangan juga sangat stabil,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jadi tiada sebab kukuh dalam mandat tersebut, untuk meningkatkan kadar faedah ketika ini.

“Peningkatan kadar faedah tidak akan memberi kesan kepada harga minyak, makanan dan utiliti yang masih berada di belakang tekanan inflasi ketika ini.”

Semalam, BNM mengumumkan kadar kenaikan OPR kepada 2.0%, meningkat 25 mata berbanding 1.75%, peningkatan pertama kadar sejak Julai 2020.

Inflasi merupakan isu ekonomi yang hangat dibincangkan di seluruh dunia, terutama Amerika Syarikat (AS).

Pentadbiran Joe Biden menerima kritikan akibat kenaikan inflasi yang tinggi di negara tersebut.

Pengumuman BNM itu sekaligus berlawanan dengan jangkaan rata-rata ahli ekonomi.

Peningkatan tersebut menurut Williams, akan meningkatkan kos pinjaman kepada peminjam korporat dan pengguna yang mungkin memberi kesan kepada penggunaan, pelaburan dan pertumbuhan.

“Memandangkan syarikat dan pengguna mempunyai lebih banyak hutang akibat perintah kawalan pergerakan, kos kedua-duanya akan meningkat.

“Satu-satunya harapan ialah kenaikan 25 mata itu terlalu kecil untuk memberi kesan kepada ekonomi sebenarnya tetapi kita harus tunggu dan lihat,” katanya.

Bagaimanapun, pakar ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, konteks peningkatan kadar oleh BNM ialah untuk menghapuskan akomodasi polisi monetari secara berkala.

Katanya, ini kerana polisi tersebut diadakan bagi menyokong ekonomi yang teruk dilanda Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Polisi tersebut dapat dilihat melalui pengurangan OPR dari 3% pada hujung 2019 kepada 1.75% pada Julai 2020. Ini merupakan OPR paling rendah dalam sejarah dan hanya semalam BNM memutuskan untuk menaikkan semula,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini kerana terdapat tanda-tanda aktiviti ekonomi sedang pulih.”

Menerusi beberapa indikator seperti kadar penggangguran yang turun kepada 4.1% Mac tahun ini, selain Indeks Sentimen Pengguna yang meningkat kepada 108.9 mata suku pertama 2022.

Tambahnya, trafik penerbangan penumpang di lapangan-lapangan terbang juga meningkat dengan signifikan kepada 8.32 juta dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding 1.67 juta pada suku pertama 2021.

Susulan pengumuman itu, bank-bank di Malaysia mula mengumumkan peningkatan kadar pinjaman asas (BLR).

Maybank contohnya, menaikkan kadar BLR kepada 2%.

Tambah Williams, kenaikan OPR hanya boleh dijustifikasikan apabila terdapat kesan perbezaan kadar faedah yang besar akibat peningkatan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed), selain kadar serantau yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata mengejar kadar tukaran dengan kadar faedah merupakan polisi yang tidak baik dan di luar mandat BNM.

“Jika peningkatan kadar faedah yang  tinggi mengganggu pertumbuhan dan keyakinan, maka ia (kadar faedah) akan menjadi tidak produktif manakala kadar tukaran akan terus melemah,” katanya.

BNM katanya, wajar memantau kadar kenaikan BLR oleh bank-bank tempatan.

Williams juga menjangkakan BNM akan terus meningkatkan lagi OPR pada masa akan datang.