Monday, July 4, 2022

Saya bukan ibu saudara Jho Low, kata bekas setiausaha 1MDB

Goh Gaik Kim berkata beliau tidak pernah diperkenalkan dengan ahli perniagaan dalam buruan itu.

Other News

Bekas setiausaha syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Goh Gaik Kim memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau bukan ibu saudara ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low.

Goh, 54, yang merupakan setiausaha syarikat 1MDB dari 31 Mac 2011 hingga 1 April 2016 menafikan dakwaan beliau mempunyai sebarang hubungan dengan Low.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib Razak, Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan bekas perdana menteri itu terhadap pertuduhan penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion.

“Saya dengan tegas mengatakan saya bukan ibu saudaranya. Bukan itu sahaja, malah saya juga tidak ada apa-apa kaitan dengannya. Sebenarnya pertama kali saya bertemu Jho Low ialah pada 2011 sebulan selepas saya menyertai 1MDB. Ketika itu saya sedang makan tengah hari dengan pengarah 1MDB Ong Gim Huat dan Radhi Mohamad.

“Saya rasa semasa dia sampai ketika itu, Radhi berkata ‘oh, itu Jho Low’, dan Ong bersama Radhi kemudiannya bangun dan pergi menyapanya. Saya cuma lihatnya dari jauh, pada masa itu saya tidak tahu siapa dia (Low).

“Selepas makan tengah hari, saya bertanya kepada mereka siapa Jho Low kerana pada pandangan saya sudah pasti dia mempunyai kaitan dengan syarikat ini kerana kedua-dua mereka pergi untuk menyapanya, namun mereka hanya berdiam diri,” kata saksi ke-17 pendakwaan.

Aizuddin: Jadi anda tidak diperkenalkan kepada Jho Low?

Beliau menjawab “tidak”.

Apabila peguam itu menunjukkan gambar Low, saksi itu berkata beliau tidak cam dengan gambar itu kerana beliau hanya melihat wajah ahli perniagaan itu dari jauh sahaja.

Katanya beliau kemudiannya tidak pernah melihat Low selepas makan tengah hari pada 2011 itu.

Menjawab satu soalan, saksi itu berkata beliau tidak pernah dimaklumkan oleh pengurusan kanan 1MDB bahawa Jho Low mempunyai apa-apa peranan dalam syarikat itu.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles