- Iklan -
Berita

Nasib Rosmah dalam kes rasuah projek solar hibrid diputuskan 7 Julai

Jika disabitkan kesalahan, Rosmah boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Julai bagi penyampaian keputusan perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar hibrid di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes hari ini.

“Kita telah sampai ke penghujung kes ini dan sudah tiba masa untuk penentuannya. Saya bercadang untuk mengambil masa selama dua bulan dari tarikh hari ini untuk mengemukakan penghakiman penuh bertulis pada 7 Julai semasa menyampaikan keputusan saya.

“Saya akan sampaikan keputusan saya pada pukul 9 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya.

Terdahulu pendakwa utama Gopal Sri Ram mengemukakan dua kes perundangan terkini sebagai nas undang-undang, manakala peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader pula berkata beliau baru menerimanya hari ini, dan memohon lebih masa untuk menjawabnya.

Hakim Zaini kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan memberikan masa yang diperlukan, dan memberitahu mereka untuk menyatakan jawapan itu pada penghujahan bertulis.

“Jangan risau, saya pasti akan lihat penghujahan itu. Saya telah pun melihat hujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali, dan saya akan lihatnya sekali lagi,” katanya.

Pada 23 Februari tahun ini, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas pengarah bahagian “First Lady of Malaysia (FLOM)” Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diperintahkan membela diri bagi tiga pertuduhan  selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Beliau berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Suapan tersebut didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor sebagai habuan membantu Jepak Holdings mendapatkan projek membekal dan menyelenggarakan sistem tenaga solar hibrid dan operasi generator diesel bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.