- Iklan -
Berita

KKM lanjut pemberian suntikan vaksin kanak-kanak sehingga 31 Mei

Bagaimanapun, tempahan janji temu PICKids tidak lagi boleh dilakukan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu bapa bersama anak mereka menunggu giliran untuk menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ibu bapa bersama anak mereka menunggu giliran untuk menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Kementerian kesihatan (KKM) hari ini memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sehingga 31 Mei depan berbanding tarikh asal pada 15 Mei.

Bagaimanapun, tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi tidak lagi boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera selepas tamat pada 8 Mei 2022.

Dalam sebuah kenyataan, Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali berkata keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh pemberian vaksin dan penutupan pusat pemberian vaksin (PPV).

“Justeru, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih,” katanya.

Sementara itu, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.

Bagi ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.

Bagaimanapun, ibu bapa yang telah mendaftarkan anak sebelum 8 Mei masih boleh membawa anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi secara walk- in di klinik kesihatan KKM sehingga 31 Mei 2022.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata pemberian vaksin di klinik kesihatan adalah bergantung kepada bekalan di klinik tersebut.

“Sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut telah habis, ibu bapa perlu datang semula pada hari berikutnya,” katanya.

Menurut Noor Azmi, selepas 31 Mei, kanak-kanak yang berada di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak (PICKids) tidak lagi ditawarkan vaksin secara percuma.

Vaksinasi yang ditawarkan selepas tarikh tersebut boleh diambil secara berbayar di pasaran swasta.

Noor Azmi berkata pemakluman hari ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022.


“Ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori ini boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin Covid-19 dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023,” katanya.

Tarikh akhir pengambilan suntikan pertama bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023.