Wednesday, May 11, 2022

Ultra Kirana minta sokongan Najib selepas ada saingan projek urus visa di China

Pengarah UKSB Fadzil Ahmad berkata pihaknya menghantar tiga pucuk surat kepada Najib antara 23 Mei 2013 dan 27 Oktober 2015.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ada menghantar beberapa surat kepada bekas perdana menteri Najib Razak bagi mendapatkan sokongan selepas terdapat saingan daripada syarikat lain yang berminat mengendali pusat sehenti (OSC) di China dan beberapa negara lain.

Pengarah UKSB Fadzil Ahmad berkata pihaknya telah menghantar tiga pucuk surat kepada Najib antara 23 Mei 2013 dan 27 Oktober 2015.

“Surat bertarikh 23 Mei 2013 bertujuan memaklumkan kepada perdana menteri berhubung kemajuan dan pencapaian syarikat UKSB serta memohon pertimbangan dan sokongan berterusan.

“Surat bertarikh 20 Januari 2014 pula bertujuan melahirkan harapan agar kerajaan dapat mengekalkan UKSB sebagai operator tunggal Pengurusan Visa ke Malaysia di China, menyokong usaha strategik berterusan UKSB bagi menjadikan sistem visa luar negara (VLN) sebagai sistem tunggal untuk pengurusan visa ke Malaysia di peringkat global dan memberi keutamaan kepada UKSB dalam pelantikan OSC di luar negara.

“Surat bertarikh 27 Oktober 2015 pula bertujuan memaklumkan perdana menteri tentang kejayaan dan perjalanan kontrak VLN dan OSC China antara UKSB dan KDN serta memohon agar kerajaan Malaysia dan KDN menyokong mempercepat pelaksanaan eVISA sebagai lanjutan kontrak yang disebutkan demi mempertingkat tahap perkhidmatan serta kemudahan menepati zaman dan era teknologi global terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya (TPR) Zander Lim Wai Keong.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh, iaitu bekas ketua penolong setiausaha di bahagian hal ehwal imigresen KDN, memberitahu mahkamah bahawa Najib telah meminta bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan kontrak UKSB sebagai pengendali tunggal sistem VLN ke Malaysia di China.

Semalam, saksi pendakwaan ke-12 Abdul Rahim Mohamed Radzi, yang merupakan bekas ketua setiausaha KDN, memaklumkan mahkamah bahawa pada 2012 terdapat cadangan daripada beberapa syarikat untuk pelantikan sebagai pengendali OSC di beberapa negara.

Fadzil, yang merupakan saksi pendakwaan ke-14, berkata pihaknya turut menghantar surat kepada Zahid pada 17 Oktober 2016 bagi mendapatkan sokongan berhubung sistem VLN dan eVISA agar menjadi sistem “de facto” kepada proses pengeluaran visa di semua pejabat pengeluar visa.

“Ini kerana UKSB berpandangan adalah amat kritikal sistem VLN dan eVISA menjadi satu-satunya sistem yang digunakan di setiap pejabat pengeluar visa ke Malaysia bagi memastikan keseragaman sistem serta prosedur operasi standard selain memperkukuh aspek keselamatan negara,” katanya sambil menambah UKSB ada menghantar surat lain kepada Zahid seperti memohon pertimbangan dan kelulusan antara 2016 dan 2017.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles