Thursday, June 30, 2022

Pasaran buruh melonjak semula pada suku pertama 2022

8.57 juta jawatan direkodkan tahun ini berbanding 8.25 juta pada tahun lalu.

Other News

Pasaran buruh Malaysia pulih pada suku pertama tahun ini dengan tambahan 148,520 jawatan berbanding suku yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 8.57 juta jawatan direkodkan, manakala perbandingan suku ke suku meningkat sebanyak 41,400 jawatan.

Beliau berkata 8.57 juta jawatan yang direkodkan dalam sektor ekonomi itu, memandangkan perniagaan terus beroperasi semasa fasa Pelan Pemulihan Negara, adalah selari dengan pengembangan aktiviti global dan domestik, didorong oleh liputan vaksinasi yang lebih meluas serta peningkatan dalam perdagangan barangan.

“Bilangan jawatan diisi pada suku pertama 2022 (ST1 2022) juga merekodkan peningkatan sebanyak 142,060 jawatan bagi mencatatkan 8.39 juta jawatan berbanding 8.25 juta jawatan pada suku pertama 2021 (ST1 2021),” katanya dalam kenyataan hari ini susulan penerbitan Laporan Statistik Guna Tenaga, Suku Pertama 2022.

Laporan tersebut membentangkan statistik permintaan buruh merangkumi penunjuk jawatan, jawatan diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata sektor pembuatan dan perkhidmatan terus merekodkan pertumbuhan positif, masing-masing sebanyak 3.6 peratus (ST1 2021: 2.7%) dan 1.9% (ST1 2021: 1.0%).

Jawatan yang diisi sebahagian besar adalah dalam kategori separuh mahir yang merekodkan 5.24 juta jawatan atau 62.5%, diikuti kategori mahir dengan 2.07 juta jawatan (24.7%) dan berkemahiran rendah sebanyak 1.07 juta jawatan (12.8%), tambahnya.

Selain itu, beliau berkata kekosongan jawatan secara konsisten telah mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun untuk dua suku tahun berturut-turut, melibatkan peningkatan sebanyak 6,460 jawatan kosong kepada 184,320 jawatan kosong pada suku tahun ini (ST1 2021: 177,850).

Mohd Uzir berkata pasaran buruh telah pulih secara beransur-ansur selari dengan pembukaan semula kebanyakan aktiviti ekonomi dan sosial dengan bilangan pewujudan jawatan melonjak kepada 25,840 jawatan pada suku ini.

“Sebagai rekod, ini merupakan bilangan tertinggi yang dicatatkan semasa tempoh pandemik dan pada masa sama melepasi paras prapandemik, yang mencatatkan secara purata 25,000 pewujudan jawatan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles