- Iklan -
Berita

Mahkamah tetapkan 28 Jun pengurusan lanjut kes rayuan Sam Ke Ting

Pengurusan kes yang dilanjutkan itu untuk adalah bagi membolehkan rekod rayuan diserahkan kepada pihak-pihak dalam kes itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kerani Sam Ke Ting dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017. Gambar: Bernama
Kerani Sam Ke Ting dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjaranya kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai dikenali sebagai basikal lajak.

Tarikh itu ditetapkan selepas pengurusan kes diadakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Peguam Harvinderjit Singh dan Faizal Mokhtar yang mewakili Sam menghadiri prosiding pengurusan kes itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan.

Ketika dihubungi, Harvinderjit berkata timbalan pendaftar menetapkan 28 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya untuk mendapatkan rekod rayuan dan bagi membolehkan rekod rayuan itu diserahkan kepada pihak-pihak dalam kes itu.

Beliau berkata dia juga memaklumkan kepada Khairi bahawa bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram telah dilantik sebagai peguam utama dan beliau (Harvinderjit) sebagai peguam bersama untuk mewakili Sam dalam rayuannya.

Harvinderjit berkata pihak pendakwaan juga mengesahkan mereka telah menerima notis rayuan yang difailkan Sam.

Beliau berkata pihak pembelaan memaklumkan kepada timbalan pendaftar mereka mahukan rekod rayuan, nota prosiding dan hujahan untuk rayuan terdahulu pada 2019 oleh pihak pendakwaan dimasukkan ke dalam rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

“Ini kerana isu kes prima facie juga akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah memerintahkan supaya surat ditulis kepada Mahkamah Tinggi Johor Baharu untuk memohon perkara yang sama,” katanya.

Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa mengarahkannya membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang terbunuh dalam insiden itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, hakim Mahkamah Tinggi Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan Sam untuk membela diri atas tuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali, yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April lepas, hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pendakwaan dan mensabitkan Sam atas pertuduhan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Sam mendapat kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas terhadap sabitan dan hukuman penjaranya.
Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan bebas dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.