Monday, July 4, 2022

Dasar tidak menentu Indonesia berhubung minyak sawit buka peluang Malaysia kuasai pasaran India

Pengguna minyak sayuran India bakal meningkatkan pembelian hasil sawit Malaysia dan mengurangkan pergantungan dengan bekalan dari negara jiran itu.

Other News

Dasar eksport minyak sawit Indonesia yang “tidak boleh diramalkan” mungkin membantu Malaysia untuk muncul sebagai pembekal dominan kepada India yang merupakan pembeli utama minyak masak di dunia, kata sumber industri.

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, namun dasar eksportnya yang tidak menentu, termasuk larangan eksport yang diumumkan pada 22 April lalu mendorong pengguna India untuk meningkatkan pergantungan mereka kepada Malaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar di dunia.

Malaysia merupakan pengeluar minyak masak kedua terbesar di mana ia menghasilkan pengeluaran kurang daripada separuh berbanding pengeluaran komoditi itu di Indonesia.

Malaysia kini mengambil peluang untuk meraih semula pasaran dunia berikutan larangan eksport yang dikuatkuasakan Indonesia dengan mengurangkan cukai eksport minyak sawit sebanyak separuh di negara itu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin pada Selasa.

Menurut anggaran sebuah badan perdagangan minyak sayuran, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA), gabungan dua situasi iaitu cukai eksport yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan bahagian eksport minyak sawit Indonesia ke India akan berkurangan kepada 35% pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Oktober berbanding lebih 75% sedekad lalu.

“Malaysia adalah penerima manfaat terbesar berikutan dasar Indonesia yang tidak dapat diramalkan,” kata BV Mehta, pengarah eksekutif SEA yang berpangkalan di Mumbai.

“Memandangkan Indonesia tiada dalam pasaran, Malaysia akan menjual lebih banyak produknya, dan pada harga yang hampir mencatat rekod tinggi.”

Data yang dikumpulkan SEA menunjukkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan dari Indonesia.

Pedagang komoditi itu juga menganggarkan India akan mengimport kira-kira 570,000 tan minyak sawit pada Mei, merangkumi 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 dari Indonesia.

Jika larangan eksport Indonesia kekal bagi jangka masa dua minggu lagi, import minyak sawit India pada Jun bakal berkurangan kepada 350,000 tan, di mana sejumlah besar daripadanya akan dibekalkan Malaysia.

Perubahan trend import minyak sawit India bakal memberi kesan terhadap penguasaan Indonesia dalam industri itu di seluruh Asia Selatan.

Bagaimanapun, syarikat penapis minyak sawit India merasakan mereka perlu melindungi rantaian bekalan daripada kesan perubahan dasar selepas campur tangan Indonesia dalam pasaran minyak sawit sejak 2021.

“Anda tidak boleh hanya bergantung kepada Indonesia dalam menjalankan perniagaan. Walaupun Indonesia menawarkan diskaun berbanding Malaysia, seseorang itu perlu mendapatkan bekalan dari Malaysia untuk melindungi nilai bekalan bagi berdepan dasar Indonesia yang tidak dapat diramal,” kata seorang pengusaha penapisan minyak sawit yang berpangkalan di Mumbai.

“Syarikat penapis mempunyai komitmen jualan produk siap lebih awal dan kami tidak boleh berundur hanya kerana bahan mentah tidak ada,” katanya.

Bagaimanapun, inventori atau stok minyak sawit Malaysia yang ketat menjadi kebimbangan yang terus berlarutan.

Situasi stok yang terhad itu berpunca daripada kekurangan tenaga kerja di mana ia telah mengakibatkan hasil perladangan sawit berkurangan.

“Malaysia mempunyai stok terhad. Banyak pengeluar di Malaysia mempunyai jualan yang baik di negara berhampiran,” kata seorang pegawai syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia dan Malaysia.

Malaysia menghasilkan kira-kira 40% daripada keluaran Indonesia supaya ia tidak menggantikan bekalan Indonesia sepenuhnya.

Walaupun demikian, pengguna minyak India tetap berminat untuk meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia dan mengurangkan pergantungan mereka kepada Indonesia.

“Indonesia mungkin menarik balik larangan eksport pada bulan ini, namun masih tiada jaminan ia tidak akan laksanakan larangan eksport (minyak sawit) sekali lagi. Dasar eksport Malaysia jauh lebih stabil dan itulah yang kami mahu,” kata seorang pembeli India.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles