- Iklan -
Berita

Pulau Pinang bimbang kadar vaksinasi kanak-kanak rendah

Suntikan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak penting bagi mengelak daripada sindrom keradangan multi sistem yang boleh menyebabkan kematian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setakat 8 Mei, Pulau Pinang hanya merekodkan 49.5% liputan vaksinasi dos pertama populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sementara hanya 37.7% golongan itu lengkap divaksinasi.
Setakat 8 Mei, Pulau Pinang hanya merekodkan 49.5% liputan vaksinasi dos pertama populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sementara hanya 37.7% golongan itu lengkap divaksinasi.

Kerajaan Pulau Pinang bimbang ekoran kadar vaksinasi perlahan dalam Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bagi kanak-kanak (PICKids) di negeri itu di mana setakat 8 Mei, ia hanya merekodkan 49.5% liputan vaksinasi dos pertama populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sementara hanya 37.7% golongan itu lengkap divaksinasi.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow menggesa ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Beliau berkata statistik itu dibentangkan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) melalui Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Mengenai Pengurusan Covid-19 dalam mesyuarat hari ini.

“JKNPP turut memaklumkan bahawa kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 berisiko menghidap sindrom keradangan multi sistem yang sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa perlu membuat keputusan yang betul dengan membawa anak mendapatkan vaksin sebelum 15 Mei, tarikh akhir suntikan percuma PICKids yang ditetapkan kementerian kesihatan.

Selepas tarikh itu, suntikan vaksinasi Covid-19 perlu dibayar.