- Iklan -
Berita

Jabatan veteran tidak selesa dengan laporan berhubung gelandangan bekas askar wataniah

Jabatan Hal Ehwal Veteran yang bertanggungjawab terhadap kebajikan veteran tentera mengesahkan Ruslan sebagai anggota askar wataniah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ruslan (bukan nama sebenar) terpaksa menjadi gelandangan di Kuala Lumpur selepas diberhentikan daripada pasukan Askar Wataniah.
Ruslan (bukan nama sebenar) terpaksa menjadi gelandangan di Kuala Lumpur selepas diberhentikan daripada pasukan Askar Wataniah.

Badan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan veteran tentera di kementerian pertahanan menyuarakan rasa tidak selesa berhubung laporan MalaysiaNow mengenai nasib yang menimpa seorang gelandangan bekas askar wataniah, mengatakan lelaki itu tidak layak diiktiraf sebagai veteran.

Dalam sebuah kenyataan sebagai respons terhadap laporan yang menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai tersebut, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) turut mengesahkan Ruslan, lelaki berusia 46 tahun pernah bertugas sebagai askar wataniah tetapi masalah kesihatan menyebabkannya diberhentikan daripada latihan asas rekrut.

“Sebaik ditamatkan latihan asas rekrut, individu berkenaan berkerja di sektor perkilangan. Walau bagaimanapun, disebabkan masalah kesihatannya, individu berkenaan diberhentikan kerja dan diberikan pencen ilat oleh Perkeso,” kata badan itu dalam sebuah kenyataan.

Kenyataan tersebut turut berkata Ruslan berminat untuk menyertai angkata tentera dan seterusnya menyertai askar wataniah di mana dia bertugas di Ipoh, Perak dan Shah Alam, Selangor.

Kenyataan itu turut memetik Akta Veteran 2012, di mana Ruslan dikatakan tidak layak untuk diiktiraf sebagai veteran.

“JHEV ATM berpendapat laporan berita yang dilaporkan adalah salah dan tidak tepat.

“Sebaliknya ia memberi gambaran yang negatif kepada kementerian pertahanan amnya dan secara khususnya kepada JHEV ATM,” kata kenyataan itu.

Kisah Ruslan yang disiarkan pada 4 Mei lalu memperincikan nasibnya yang terpaksa menjadi gelandangan selepas meninggalkan pasukan askar wataniah berikutan penyakit radang paru-paru tahap tiga yang dihidapinya.

Laporan itu mencetuskan banyak pertanyaan dan tawaran bantuan daripada orang ramai serta pihak berkuasa.

Ruslan juga akhirnya mendapat tempat tinggal baru bersama sebuah keluarga di Klang, Selangor, di mana dia membantu menjaga pasangan warga emas yang kini menjadi ibu bapa angkatnya.

Dia memberitahu MalaysiaNow kehidupannya kini berubah selepas selepas beberapa tahun hidup di kaki lima Kuala Lumpur.