- Iklan -
Berita

Ong Kian Ming umum tidak bertanding PRU15

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau mahu 'berehat untuk sementara waktu'.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming hari ini mengumumkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), untuk berehat daripada barisan hadapan politik.

Bagaimanapun, Ong yang sudah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama sembilan tahun berkata beliau belum bersara dan hanya “berehat untuk sementara waktu”.

“Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.”

Menurut Ong, sementara menunggu PRU15 diumumkan, beliau menyokong penuh kepimpinan Anthony Loke sebagai setiausaha agung DAP selain turut meneruskan tanggungjawab beliau sebagai ahli Parlimen Bangi.

“Saya akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU15.

“Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah Parlimen dibubarkan.”

Ong merupakan salah seorang ahli Parlimen DAP yang secara terbuka menggesa Pakatan Harapan (PH) untuk mempertimbangkan tawaran Muhyiddin Yassin sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri di mana sebuah senarai pembaharuan insititusi yang diperjuangkan gabungan itu akan dilaksanakan sebagai tukaran kepada sokongan mereka bagi mengelakkan kerajaan Perikatan Nasional tumbang ketika negara berdepan pandemik.

Beliau dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata pada Ogos tahun lalu langkah itu juga akan dapat menghalang “kleptokrat” kembali ke tampuk pentadbiran, merujuk Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan lebih 80 pertuduhan di mahkamah.