- Iklan -
Berita

Kes denggi meningkat di Labuan

Jangkitan wabak itu meningkat 100% berbanding sepanjang tahun lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota sukarela membuat semburan pembasmi nyamuk Aedes di kawasan PPR Pudu Ulu di ibu negara. Kempen penyemburan ini dilakukan oleh kumpulan entiti peniagaan dengan gabungan komuniti setempat dibawah satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) sekaligus menterjemahkan semangat "Kita Jaga Kita".Selain pada itu turut melakukan penyemburan pembasmi kuman Covid19 ke beberapa tempat antaranya Shamelin Perkasa, Pudu Ulu dan Maluri.

Sepuluh kes denggi dilaporkan di Labuan setakat ini tahun ini, peningkatan 100% berbanding sepanjang tahun lepas yang hanya mencatatkan lima kes, menurut Jabatan Kesihatan Labuan.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata Kg Layang-Layangan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi susulan kebanyakan kes berlaku di situ.

“Situasi membimbangkan jika tidak dikawal memandangkan musim hujan sekarang dengan longkang tersumbat menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan mencetuskan wabak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau menggesa masyarakat setempat supaya memastikan persekitaran mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

Mengenai kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang merupakan jangkitan biasa dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata ia masih terkawal walaupun beberapa kes dilaporkan baru-baru ini.

Mengenai Covid-19, beliau berkata hanya satu kes dilaporkan di pulau bebas cukai itu pada Jumaat, menjadikan jangkitan kumulatif kepada 21,309 kes.

Tiada kluster baru dikesan.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih adalah 21,065.

Ismuni berkata saringan Covid-19 masih dijalankan terhadap pelawat dari Brunei di terminal feri Labuan dan pelawat antarabangsa di Lapangan Terbang Labuan.