- Iklan -
Berita

JPJ keluar lebih 16,300 saman jalan raya sepanjang Aidilfitri

Kesemua saman berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 89,490 kenderaan sejak aktiviti penguatkuasaan penuh bermula 29 April lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Op Hari Raya Aidilfitri dilancarkan pada 29 April lalu. Lebih 16,300 saman dikeluarkan sehingga 8 Mei. Gambar: Bernama
Op Hari Raya Aidilfitri dilancarkan pada 29 April lalu. Lebih 16,300 saman dikeluarkan sehingga 8 Mei. Gambar: Bernama

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 16,377 saman kesalahan jalan raya sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di seluruh negara sehingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ Hashim berkata kesemua saman berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 89,490 kenderaan sejak aktiviti penguatkuasaan penuh bermula 29 April lepas.

“JPJ juga telah mengeluarkan sejumlah 776 saman Notis P22 iaitu notis arah periksa melibatkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

“Lima kesalahan utama dalam tempoh Op HRA 2022 itu akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun,” katanya pada sidang media selepas memantau pelaksanaan Op HRA 2022 di Jalan Kota Bharu-Pasir Pekan malam tadi.

Mengulas lanjut, Zailani berkata JPJ turut mengesan sebanyak 58,182 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera sistem keselamatan kesedaran automatik (AwAS) dalam Op HRA 2022 setakat semalam.

Beliau berkata kesalahan tersebut dikesan menerusi 45 kamera AwAS membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.