- Iklan -
Berita

Hukuman berat terhadap penjaga benarkan anak, remaja tiada lesen memandu

Menteri pengangkutan berkata pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penjaga akan bertanggungjawab jika berikan kebenaran kepada anak tiada lesen memandu kereta sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.
Penjaga akan bertanggungjawab jika berikan kebenaran kepada anak tiada lesen memandu kereta sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Hukuman berat mengikut Akta Pengangkutan Jalan boleh dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan anak atau remaja tidak cukup umur memandu, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

“Bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

“Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berumur 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput hingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Kuala Muda Zaidy Che Hassan berkata remaja itu tidak memiliki lesen memandu dan kini ditahan di ibu pejabat polis Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Wee berkata krisis Ukraine-Rusia yang telah memacu harga minyak mentah dunia, menjadi antara sebab harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa naik mendadak, selain permintaan yang tinggi.

Bagaimanapun katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah diminta untuk memantau peningkatan harga tiket berkenaan.

Wee turut mengulangi bahawa harga tiket penerbangan yang dibeli pada saat akhir boleh menjadi mahal kerana penggunaan mekanisme penetapan harga dinamik, dengan memberikan contoh pembelian tiket pada musim Tahun Baru Cina dibuka pada harga antara RM300 hingga RM400, tetapi pembelian tiket beberapa hari sebelum penerbangan pula menyaksikan harga yang jauh lebih tinggi.